Ad

Thursday, 23 January 2014

MHC yakin kemampuan Dharma


IPOH - Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yakin ketua jurulatih baharu, Muhammad Dharma Raj Abdullah (gambar) mampu membimbing skuad hoki kebangsaan mempamerkan aksi cemerlang dalam dua kejohanan besar, Piala Sultan Azlan Shah pada Mac dan Piala Dunia di Belanda pada Jun ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mohd. Johari Abd. Aziz berkata, Muhammad Dharma Raj diyakini tiada masalah untuk membentuk skuad negara kerana memiliki ramai pemain yang berpengalaman dan berbakat.

Menurutnya, beliau hanya perlu menyusun semula aspek taktikal untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan yang telah diatur oleh bekas pengendali, Paul Revington yang meletak jawatan kelmarin.

"Kami memiliki ramai pemain yang berpengalaman dan berbakat, jadi tiada masalah buat jurulatih baharu untuk membentuk skuad bagi menghadapi kedua-dua kejohanan tersebut.

"Beliau mampu mengambil alih skuad kebangsaan. Persediaan kita untuk menghadapi Piala Dunia tidak terganggu dengan peletakan jawatan Revington," katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Penganjur Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di sini semalam.

Muhammad Dharma Raj, yang sebelum ini dilantik sebagai pembantu Revington, berjaya membawa skuad remaja kebangsaan ke separuh akhir Piala Dunia Remaja 2013 di New Delhi pada bulan lalu.

Sementara itu, mengenai undian Piala Dunia pada Jun ini, Mohd. Johari berkata, Malaysia berdepan saingan sukar apabila diundi bersama Australia, England, Belgium, Argentina dan Korea Selatan dalam Kumpulan A untuk kejohanan di The Hague itu.

Kumpulan B pula dihuni Jerman, Belanda, New Zealand, India, Sepanyol dan Afrika Selatan.

"Kami harap dapat mencapai sasaran kedudukan sepuluh terbaik di kejohanan itu nanti, jika lebih baik daripada itu merupakan satu bonus. Kita harus realistik, ini adalah Piala Dunia," katanya.

Dalam pada itu, Australia, Korea Selatan, Kanada, Pakistan dan Perancis merupakan antara pasukan yang sudah mengesahkan untuk menyertai kejohanan Piala Sultan Azlan Shah yang akan berlangsung di sini 13-23 Mac ini.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140122/su_04/MHC-yakin-kemampuan-Dharma#ixzz2rE55ssAY © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment