TITCHENKOVA mempunyai ukuran
ketinggian luar biasa berbanding rakan-rakan sebayanya yang lain.
PADA usia 16 tahun, Lyudmila
Titchenkova sudah mempunyai ketinggian mencecah 197 sentimeter (sm).
Ketinggian luar biasa gadis
yang berasal dari Nikolaev, Ukraine itu menyebabkan dia lebih dikenali sebagai
zirafah dalam kalangan rakan-rakannya.
Bagaimanapun, gadis cantik itu
memberitahu, dia sedikit pun tidak berasa kecil hati dengan gelaran itu.
"Dahulu, saya sering
berasa rendah diri kerana sering diejek kawan-kawan di sekolah.
"Saya juga malu untuk
berdepan dengan masyarakat sekeliling. Namun, lama-kelamaan saya jadi biasa
dengan kritikan yang diterima," katanya menerusi portal Rocket News 24.
Cerita Titchenkova, keganjilan
pertumbuhan fizikal pada tubuhnya mula dikesan sewaktu dia berumur 10 tahun.
Ketika itu, kedua-dua ibu
bapanya menyedari kadar pertumbuhan pada anggota badannya dilihat tidak normal
kerana berkembang dengan sangat pantas jika dibandingkan dengan rakan-rakan
sebaya lain.
"Secara fizikal, saya jauh
lebih tinggi daripada kawan-kawan seusia malah ukuran tangan serta leher saya
juga berbeza berbanding kanak-kanak normal.
"Ibu dan bapa saya turut
melahirkan kebimbangan terhadap situasi pelik yang berlaku ke atas diri saya
ini," katanya sambil memberitahu, adiknya, Tamura turut mengalami penyakit
serupa.
Genetik
Selain itu, pertumbuhan
abnormal fizikal gadis berkenaan turut melibatkan bahagian tulang belakang yang
kelihatan sedikit melengkung.
Titchenkova memberitahu, dia
kemudiannya dirujuk ke sebuah hospital di Ukraine untuk mendapatkan rawatan
selain bagi mengenal pasti punca sebenar penyakit tersebut.
Setelah menjalani beberapa
ujian, pihak hospital mendapati gadis berkenaan menghidap sejenis penyakit
genetik yang dikenali sebagai sindrom Marfan.
Menurut National Marfan
Foundation yang berpusat di Port Washington, New York, Amerika Syarikat (AS),
sindrom tersebut merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh kecacatan
genetik manusia.
Kebiasaannya, ia akan menyerang
tisu penghubung yang berfungsi sebagai otot penyokong kepada pelbagai struktur
tubuh manusia.
Bongkok
Gangguan genetik itu sekali gus
menjejaskan fungsi organ terutamanya jantung, pembuluh darah, tulang, sendi dan
mata.
"Bahagian badan memerlukan
otot penghubung yang kental untuk menyokong setiap fungsinya.
"Tisu penghubung yang
lemah pada jantung misalnya membuatkan otot yang berkembang menjadi longgar
ketika proses pengepaman darah.
"Ada juga kes terpencil
yang dilaporkan turut menyerang organ lain seperti paru-paru dan kulit,"
katanya.
Dalam kes Titchenkova, penyakit
itu menyerang tisu penghubung pada tulang belakangnya sehingga menyebabkan dia
mengalami masalah tulang belakang membengkok (scoliosis) sehingga mengakibatkan
tubuhnya menjadi bongkok 30 darjah.
Bagaimanapun, gadis tersebut
berjaya menjalani pembedahan di Institute of Spine and Joint Pathology di
Ukraine bagi memperbetulkan keadaan tulang belakangnya itu.
SUMBER : KOSMO ONLINE 13.1.14
No comments:
Post a Comment