Ad

Monday 13 January 2014

Imbauan nostalgia kafe lama

 
KOLEKSI botol-botol lama diletakkan di dalam sebuah kabinet khas yang menghiasi di ruang berhawa dingin kafe ini.

MELANGKAH masuk ke perkarangan kafe milik pasangan suami isteri, Azlan Huzairi Mustafa'l Adnan, 48 dan Nor Azlina Osman, 37, bagai terasa suasana 1960-an.

Manakan tidak, kafe yang terletak di Bandar Puchong Utama, Puchong, Selangor ini mengetengahkan konsep antik di segenap sudut.

Menurut Nor Azlina, dia dan suami pada mulanya mahu membuka sebuah kedai yang menjual barang antik di samping mempunyai sebuah kafe kecil sahaja.

"Suami gemar mengumpul barangan antik dan selepas mengambil kira beberapa perkara, kami akhirnya menukar perancangan asal dengan membuka kafe sepenuhnya pada tahun 2008.

"Kami menerapkan konsep antik pada keseluruhan ruang bagi menimbulkan kelainan dengan konsep restoran sedia ada malah pembukaan rasmi kafe ini juga telah disempurnakan oleh pelakon veteran, Datuk Aziz Sattar pada tahun 2010.

"Boleh dikatakan kebanyakan daripada barangan antik seperti perabot, alat muzik dan poster lama yang dipamerkan di kafe ini merupakan koleksi peribadi kami," ujar ibu kepada lima orang anak ini.

Tambahnya, dengan pembukaan kafe yang boleh memuatkan seramai 120 orang pada satu-satu masa itu secara tidak langsung membolehkan dia dan suami berkongsi koleksi antik yang dimiliki bersama pengunjung.


PENGUNJUNG pasti akan beranggapan seperti berada di dalam sebuah rumah lama apabila menjamu selera di kafe ini.

"Konsep ini dipilih kerana barangan antik ini mempunyai daya tarikan semula jadi untuk dijadikan perhiasan atau tontonan.

"Walaupun ia sudah tidak lagi sesuai digunakan, tetapi ia mampu menimbulkan kenangan atau nostalgia kepada mereka yang melihatnya tetapi kami tidak memfokuskan kepada sesuatu barangan sahaja sebaliknya mengumpul bermacam jenis barangan antik yang mempunyai nilainya yang tersendiri," katanya yang juga gemar mengumpul barangan kemas antik.

Rumah lama

Jika dilihat pada luaran, tiada apa yang istimewanya kafe ini tetapi sangkaan itu mulai meleset kerana kafe ini membuatkan kru Jurnal ibarat berada di dalam sebuah rumah lama.

Elemen sistem pendawaian, tingkap, almari, perabot, lantai dan pinggan mangkuk lama yang digunakan juga sudah melambangkan suasana tersebut.

Poster-poster lama juga turut menghiasi dinding kafe ini yang diperoleh daripada kedai-kedai antik seluruh Malaysia.

Di bahagian kaunternya pula, pemilik menerapkan unsur antik yang terdiri daripada kamera-kamera lama, jam, kotak rokok dan akhbar lama tulisan Jawi bagi menghiasi ruang tersebut.

Koleksi tin dan mangkuk tingkat pula menghiasi bahagian dapur di kafe ini.

Malah pemilik turut menempatkan peralatan untuk membancuh kopi buatan England di salah satu sudut di bahagian dapur.

Menjengah ke bahagian berhawa dingin pula, kru Jurnal dihidangkan dengan gantungan gambar seniman dan seniwati terkenal seperti Tan Sri P. Ramlee dan Saloma.

Pemilik memilih untuk meletakkan koleksi botol-botol lama di dalam sebuah kabinet khas.

Malah, ruang berhawa dingin itu turut menjadi lokasi merakam gambar praperkahwinan oleh pereka terkenal, Jovian Mandagie.

"Boleh dikatakan majoriti barangan antik yang kami miliki masih boleh berfungsi dengan baik seperti kotak lagu tahun 1970-an ini yang diperoleh dari Ipoh, Perak.

"Kami akan mengemas dan mengelap barangan antik ini pada setiap minggu malah kami turut menyewakan barangan antik ini kepada produksi drama dan filem yang berminat.

"Sebahagian koleksi turut dijual dalam lingkungan harga antara RM50 hingga RM150," jelasnya.

Masakan Perak

Beritahu beliau, dia dan suami menerapkan konsep kopitiam yang diselitkan dengan elemen Melayu.

"Pada mulanya kami menyewa sebuah lot kedai sahaja tetapi selepas mendapat maklum balas positif daripada pengunjung, kami menyewa sebuah lagi lot kedai bersebelahan bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung.
 
KEDAI gunting rambut yang menghiasi bahagian luar kafe ini sering dijadikan lokasi merakam gambar oleh pengunjung.

"Lot kedai bersebelahan yang berhawa dingin kami khaskan untuk majlis-majlis berskala kecil seperti majlis ulang tahun kelahiran dan reunion yang boleh memuatkan seramai 60 orang pada satu-satu masa dengan kadar sewa RM60 untuk sejam," tambahnya sambil memberitahu dia tiada sebarang perancangan untuk menukar konsep antik yang diketengahkan di kafe miliknya itu.

Katanya, dia dan suami pasti menyelitkan aktiviti mencari barangan antik sekiranya berkesempatan melancong terutama di Pulau Pinang.

"Selain mendapatkan barangan di kedai-kedai antik dan individu perseorangan, kami juga ada membeli secara online tetapi hanya barangan tertentu sahaja yang dibeli seperti permainan dan poster filem.

"Walaupun harga yang ditawarkan jika dibeli secara online jauh lebih murah, tetapi kami lebih selesa melihat sendiri keadaan barangan antik yang berkenaan sebelum membelinya, "jelasnya yang turut mendapatkan koleksi barangan antik seperti perabot, jam dan kamera lama di Indonesia.

Ipoh Station Antique Cafe menghidangkan masakan Melayu Perak yang kebanyakan resipi dan cara memasak diajar oleh ibu mertua Nor Azlina sendiri.

"Menu istimewa yang terdapat di kafe ini ialah nasi goreng ikan kembung rebus, mi rebus, mi kari dan nasi goreng Ipoh Station selain lempeng pisang yang menjadi menu wajib pada sebelah petang," beritahu beliau.

SUMBER :KOSMO ONLINE 13.1.13

No comments:

Post a Comment