Ad

Monday, 13 January 2014

Wanita kemudi kapal 330 m

 
PEMIMPIN nombor dua dalam kapal ini perlu memastikan bahtera yang dikemudi sentiasa berada di landasan yang betul.

KETIKA artikel ini diterbitkan, S. Geetha, 27, mungkin sudah berada jauh beratus-ratus ribu batu nautika dari perairan negara.

Manakan tidak, wanita yang berasal dari Tampin, Negeri Sembilan itu merupakan orang nombor dua selepas Kapten yang antara lain bertanggungjawab mengemudi kapal membelah samudera ke pelabuhan yang ditujui.

Berpengalaman mengemudi kapal pengangkut barang dan minyak selama hampir tujuh tahun, Geetha yang menyandang jawatan Pegawai Kelas Kedua mempunyai cara tersendiri untuk mengendali kru kapal yang 98 peratus terdiri daripada kaum Adam.

"Setakat ini, saya tidak mempunyai masalah untuk memberi arahan terutamanya kepada anak-anak kapal yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam industri perkapalan.

"Sikap tolak ansur serta saling hormat-menghormati perlu ada bagi mewujudkan suasana bekerja yang harmoni," katanya.

Tambah anak kepada pasangan K. Selvaraja dan H. Selvakumari itu, dia juga tidak pernah berhadapan dengan gangguan seksual sepanjang melibatkan diri dalam bidang tersebut.

"Saya akui ketika mula-mula menceburi dunia pelayaran, ramai yang mendakwa kerjaya ini mudah terdedah kepada gangguan seks namun anggapan itu tidak benar kerana yang paling penting ialah bagaimana kita menjaga diri.

"Mereka (anak kapal) juga tidak berani berbuat demikian kerana jika ada sebarang gangguan, saya akan laporkan terus kepada syarikat dan mereka boleh dikenakan tindakan disiplin sebaik tiba di pelabuhan seterusnya," jelas Geetha.

Perintis

Mengintai kembali sejarah pembabitannya dalam industri maritim, Geetha memberitahu, peluang membina kerjaya cemerlang dan tawaran gaji yang agak lumayan mendorongnya untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan Diploma Pengajian Nautika di Akademi Laut Malaysia (Alam) pada tahun 2006.

Menjadi antara kadet wanita pertama yang dilahirkan institut latihan dan pendidikan maritim itu, Geetha mengakui begitu berbangga kerana menjadi antara perintis dalam bidang yang sekian lama dimonopoli golongan lelaki itu.

"Kebanyakan penuntut lelaki pada ketika itu sukar untuk menerima kehadiran pelajar perempuan dan sering memandang rendah kemampuan kami.

"Ada yang suruh kami balik dan cari kerjaya lain yang lebih sesuai tetapi saya hanya abaikan kata-kata mereka kerana percaya wanita juga mampu melakukan semua perkara yang selama ini didominasi lelaki," katanya yang merupakan satu-satunya pelajar wanita berketurunan India di institusi tersebut.

Semangat dan kekuatan fizikal serta mental anak ketiga daripada empat adik-beradik itu terus diuji ketika menjalani latihan amali di atas beberapa buah kapal tangki.

Menurut Geetha, dia diberi kepercayaan mengemudi kapal pembawa barang yang cukup besar iaitu kapal MT Bunga Kasturi Tiga sepanjang 330 meter (m).

"Selama tujuh bulan bertugas di dalam kapal itu, saya berpeluang mengelilingi dunia dan melihat kehebatan pelabuhan di Jepun, Korea, Taiwan dan Amerika Syarikat.

Kapten

"Saya juga berpeluang mengemudi kapal Bunga Kelana 8 sepanjang 241 m.

"Pelayaran kedua bersama MT Eagle Seville selama empat bulan pula memberi keyakinan yang lebih mendalam ketika melakukan kerja-kerja di atas kapal," ujarnya.

Tambah Geetha, selain tugasan mengemudi kapal, dia turut mempelajari kerja-kerja kelasi seperti membersihkan dan mengecat kapal, menggulung tali serta mengendalikan kontena.

Katanya, dia juga turut dilatih melakukan tugasan pemantauan laluan kapal selama empat jam secara bergilir-gilir dan pemerhatian kargo apabila tiba di pelabuhan.

"Saya juga dikehendaki bertugas sekurang-kurangnya empat jam di bilik enjin yang agak sempit, kotor dan bising sepanjang setahun menjalani latihan praktikal," ujarnya yang beranggapan ancaman lanun ialah sebahagian cabaran yang perlu dihadapi sebagai pelaut.

Bagaimanapun, Geetha memberitahu, sepanjang belajar di Alam, kesemua penuntut diajar cara-cara menghadapi pelbagai cabaran termasuk serangan lanun.

"Kami juga dilatih untuk menghadapi situasi cemas lain seperti kebakaran dan kapal karam," jelasnya.

Melihat kepada susuk tubuhnya yang kecil dengan ketinggian sederhana, siapa sangka wanita ini akhirnya berjaya menamatkan pengajian pada tahun 2009.

Menariknya, wanita yang pernah memasang impian untuk menjadi seorang pendidik itu bakal menempa namanya dalam sejarah negara sebagai kapten wanita sulung dalam bidang perkapalan tanah air untuk tempoh tiga tahun lagi.

Menurut Geetha, selepas tamat pengajian di Alam, dia menduduki beberapa ujian lain dan berjaya memperoleh Sijil Kemahiran Kelas Tiga sebelum dilantik menjadi Pegawai Kelas Empat.

"Kini, saya sedang melengkapkan ujian Kelas Kedua untuk menjadi Ketua Pegawai.

"Saya juga perlu belayar selama setahun selain menduduki ujian Kelas Pertama sebelum boleh dilantik sebagai Kapten," katanya.

SUMBER : BERITA HARIAN ONLINE 13.1.14

No comments:

Post a Comment