2014/01/13 - 05:35:44 AM Oleh
Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi .
Zahirkan kecintaan dengan
mengambil sirah, sunnah sebagai panduan
Perutusan Rasulullah SAW
sebagai menyambung tradisi perjuangan Nabi dan Rasul terdahulu menegakkan
kalimah Allah SWT seterusnya mengakhiri salasilah kerasulan yang memikul amanah
menyampaikan risalah Islam kepada sekalian alam.
Allah SWT berfirman yang
bermaksud: “Tidaklah Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk
mendatangkan kerahmatan kepada seluruh alam.” (Surah al-Anbia, ayat 107)
Islam yang diutuskan Allah SWT
melalui Rasulullah SAW sudah menyediakan jalan terbaik ke arah kesejahteraan
dan kebahagiaan hidup. Islam sarat dengan hukum hakam dan ajaran suci yang
mampu menjamin manusia menyelesaikan segala masalah yang melanda serta menjadi
penawar semua penyakit kehidupan”
Rasulullah SAW juga dikurniakan
kitab suci al-Quran sebagai sumber rujukan dan pedoman berkekalan buat umat
manusia menelusuri titian hidup penuh cabaran.
Justeru, sambutan Maulidur
Rasul penting dengan harapan untuk menebalkan kecintaan kepada Baginda SAW.
Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah insan paling dicintai memandangkan Baginda
insan contoh atau manusia mithali dalam serba serbinya.
Umat Islam diperintahkan Allah
SWT supaya meneladani dan mencontohi kehidupan Rasulullah SAW selaras dengan
firman-Nya yang bermaksud: “Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri
Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa
mengharapkan (keredaan Allah) dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula
menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”
(Surah al-Ahzab, ayat 21)
Zahir kecintaan terhadap
Rasulullah
Menyatakan kecintaan kepada
Rasulullah SAW, ia tidak cukup sekadar dizahirkan melalui kata-kata pujian dan
sambutan, tetapi akan menjadi lebih bermakna jika dizahirkan dengan meneladani
sirah Baginda sebagai pemimpin, panglima angkatan perang, sahabat, suami, bapa
dan manusia biasa.
Pendek kata, Rasulullah SAW
memiliki banyak dimensi dan sudut patut dicontohi umat Islam sejagat.
Disebabkan itu, sirah serta sunnah Baginda tetap relevan kepada umat Islam dari
dulu, kini dan selamanya.
Kehidupan Rasulullah SAW
menyediakan jawapan ampuh yang berupaya memecahkan segala persoalan dan masalah
dihadapi manusia moden dewasa ini kerana ia sebenarnya manifestasi menyeluruh
dari inti pati al-Quran.
Saidatina Aisyah apabila
ditanya mengenai akhlak Baginda SAW menjawab: “Sesungguhnya akhlak Rasulullah
SAW adalah akhlak al-Quran.” (Riwayat Muslim)
Dunia kini sedang menyaksikan
ramai umat manusia semakin tersasar daripada landasan yang lurus. Natijahnya,
ramai manusia tertipu dengan godaan dunia yang mempesona, indeks keruntuhan
akhlak semakin merudum dan kesejahteraan hidup mulai pupus.
Dalam erti kata lain, hidup ini
seolah-olah ketiadaan bimbingan dan panduan, dada umat manusia pula dipenuhi
penyakit jiwa serta hilangnya petunjuk serta rahmat dalam kehidupan.
Sebenarnya konsep untuk manusia
hidup bahagia itu ada, namun ia ditinggalkan. Begitu juga jalan menuju
kesejahteraan hidup sudah jelas termaktub dalam kitab suci al-Quran, tetapi
diingkari.
Islam yang diutuskan Allah SWT
melalui Rasulullah SAW sudah menyediakan jalan terbaik ke arah kesejahteraan
dan kebahagiaan hidup. Islam sarat dengan hukum hakam dan ajaran suci yang
mampu menjamin manusia menyelesaikan segala masalah yang melanda serta menjadi
penawar semua penyakit kehidupan.
Allah SWT berfirman yang
bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran
yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi
penyakit batin yang ada dalam dada kamu dan menjadi hidayah petunjuk untuk
keselamatan serta membawa rahmat bagi orang beriman.” (Surah Yunus, ayat 57)
Al-Quran penyuluh hidup
Al-Quran juga adalah hidayah
petunjuk ke jalan diredai Allah yang memimpin manusia mencapai kebahagiaan
dunia dan akhirat. Al-Quran secara khusus menjadi sinaran rahmat yang menyuluhi
setiap detik kehidupan orang yang beriman.
Ini adalah seruan suci Allah
SWT kepada umat manusia supaya mereka dapat hidup bahagia di dunia dan akhirat
dengan syarat berpegang teguh dengan ajaran dan hukum hakam yang telah
ditetapkan-Nya.
Risalah Islam diturunkan
sebagai satu cara hidup yang lengkap dan menyeluruh buat mengatur kehidupan
manusia sejagat ke arah kebahagiaan abadi di bawah keredaan Ilahi. Ini bermakna
jalan keluar sudah sedia ada, penawar di depan mata, maka terserahlah kepada umat
manusia memilih sama ada hendak hidup berbahagia atau sebaliknya.
Akhirnya, umat Islam wajib
bermuhasabah dan merenungi diri nasib mereka yang sudah sekian lama tercalar.
Maka, inilah masanya untuk kembali kepada al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW,
mudah-mudahan dapat memartabatkan kembali imej sebagai umat terbaik dan umat
contoh.
Setiap Muslim seharusnya
bersama mencontohi kehidupan Rasulullah SAW dalam setiap aspek supaya keadilan
Islam dapat menghiasi kembali kemakmuran bumi Allah SWT dan Islam menerajui
kepimpinan manusia ke arah keharmonian, kesaksamaan dan kesejahteraan.
No comments:
Post a Comment