Ad

Tuesday, 4 November 2014

Peserta maraton hilang 4 hari ditemui mati




Oleh ROSALINDA MD. SAID (pengarang@utusan.com.my)  |  05 November 2014 2:45 AM
 
Pasukan keselamatan membawa mayat mangsa yang hilang, Ahmad Rafikin Azman yang dijumpai pada hari keempat dalam operasi mencari di Hutan Lipur Sekayu Hulu Terengganu, semalam. – utusan/Shaifudin Mohd. Nor

HULU TERENGGANU 4 Nov. - Tangisan anggota keluarga dan sanak saudara menyelubungi suasana di Hutan Lipur Air Terjun Sekayu di sini apabila Ahmad Rafikin Azman, 16, yang dilaporkan hilang Sabtu lalu semasa menyertai acara Larian Antarabangsa Gunung Gajah Terom 2014 ditemui mati.

Tanda tanya dan kekhuatiran mereka tentang kehilangan pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud Kuala Terengganu itu berakhir apabila mayat dijumpai tersepit di celah batu besar de­ngan aliran sungai di bawahnya.

Komander Operasi Mencari dan Menyelamat, Asisten Supritendan Rosli Mohd. Amir yang juga Timbalan Ketua Polis Daerah membe­ritahu, kawasan penemuan mayat itu kira-kira kira-kira 2.4 kilometer dari trek laluan pertandingan.

“Mangsa telah disahkan meninggal oleh pegawai perubatan yang hadir dan mayatnya dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk tin­dakan selanjutnya,” kata beliau.

Menurutnya, mayat mangsa ditemui kira-kira pukul 3.30 petang dan dibawa turun ke lokasi bilik gerakan SAR pada pukul 6.40 petang.

“Kita serah kepada pihak hospital untuk membuat pemeriksaan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini tanpa enggan me­ngulas lanjut tentang kemungkinan pelajar itu tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai.

Ahmad Rafikin, anak kepada Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Azman Othman, tidak menyelesaikan acara maraton kategori remaja sejauh 12 kilometer dan bapanya membuat laporan polis kira-kira pukul 6 petang, Sabtu lalu.

Larian maraton anjuran bersama Persatuan Kembara Negara, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan itu disertai oleh lebih 500 peserta dari dalam dan luar negara melibatkan sembilan kategori.

Operasi mencari dan menyelamat digerakkan dengan kekuatan 250 anggota daripada pelbagai agensi termasuk bomba, polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di samping para sukarelawan dan anjing pengesan turut digunakan.

Mayat Ahmad Rafikin ditemui pasukan sukarelawan seramai empat orang yang diketuai Mohd. Johari Abu Bakar kira-kira pukul 3.30 petang sebelum dimaklumkan kepada anggota bomba.

Suasana hiba menyelubungi ahli keluarga dan sanak saudara sebaik sahaja mayat Ahmad Rafikin dibawa turun oleh pasukan penyelamat.

Mereka yang berkampung di Hutan Lipur Air Terjun Sekayu itu sejak empat hari lalu tidak dapat mengawal kesedihan masing-masing.

Ibu saudaranya, Azlida Othman, 40, berkata, tragedi itu merupakan dugaan terbesar dalam sejarah keluarga mereka.

“Saya tidak mampu kata apa-apa lagi, bagaimanapun saya dan keluarga berterima kasih kepada pasukan penyelamat yang banyak membantu kami pada awal kejadian hingga ke hari ini,” katanya.
- SUMBER: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/peserta-maraton-hilang-4-hari-ditemui-mati-1.20983#sthash.qRUapiNR.dpuf

No comments:

Post a Comment