Ad

Friday, 20 December 2013

Dua lagi genapkan '40'

 
 Skuad hoki wanita negara meraikan kejayaan memenangi pingat emas selepas menewaskan Thailand 6-1 pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Theinphyu, Yangon, semalam. - BERNAMA
NAY PYI TAW - Debaran bagi menanti angka 40 pingat emas seperti mana yang menjadi sasaran bakal dirasai pada hari ini selepas jumlah pungutan pingat emas mencecah 38 butir, semalam.

Lima emas yang diraih daripada sukan pelayaran, terjun dan hoki wanita, seperti mana dijangka pada hari ini memastikan momentum bagi melengkapkan angka 40 berada pada landasan yang tepat.

Sukan pelayaran paling cemerlang, semalam apabila mengesahkan dua emas menerusi acara laser standard lelaki yang dimenangi Khairulnizam Mohd. Afendy dan international 420 lelaki oleh Mohd. Faizal Norizan-Ahmad Shukri Abdul Aziz.

Selain itu, mereka turut mengutip masing-masing tiga perak dan gangsa dalam acara yang diadakan di Pantai Ngwe Saung, semalam.

Di Pusat Akuatik Wunna Theikdi, acara terjun terus memberikan aksi kelas dunia apabila dua lagi emas terus dituai menerusi 3 meter papan anjal seirama lelaki (Ahmad Amsyar Azman dan Ooi Tze Liang) dan 3 meter papan anjal seirama wanita (Cheong Jun Hoong-Ng Yan Yee).

Hoki wanita tidak berdepan sebarang masalah membenam Thailand 6-1 satu lagi emas yang sememangnya menjadi sasaran kita sebelum ke Sukan SEA Myanmar.

Daripada dua emas yang diperlukan pada hari ini, ia dijangka hadir sama ada melalui terjun, hoki lelaki, muay atau taekwondo - empat sukan yang dianggap paling realistik tanpa melupakan judo, catur dan petanque.

Emas daripada skuad hoki lelaki sudah boleh dijamin kerana dengan hanya keajaiban boleh menghalang daripada anak-anak buah Tai Beng Hai daripada ditewaskan Singapura pada perlawanan akhir di Stadium Theinphyu,Yangon.

Sementara itu, atlet berusia 15 tahun, Muhd. Nazreen Abdullah yang sebelum ini mencuri tumpuan bakal bergandingan bersama Ooi Tze Liang dalam acara 10 meter platform seirama lelaki untuk terus memburu emas di Pusat Akuatik Wunna Theikdi.

Ini akan diikuti Nur Dhabitah Sabri dan Leong Mun Yee yang bakal beraksi dalam satu lagi acara, 10 meter platform wanita yang mana satu lagi emas yang dijelmakan dengan mudah.

Jika mengharapkan sebarang kejutan pada hari ini, jangan terkejut sekiranya acara Muay yang menampilkan dua wakil pada pertarungan akhir iaitu Mohd. Faizal Ramli dalam acara 75kg dan Mohd. Lokman Akim, 51 kg mampu memenangi pingat emas.

Taekwondo yang gagal menghasilkan pingat emas selepas dua hari pertandingan, harapan terakhir akan disandarkan kepada Shakila Darshini (Bawah 46kg Wanita) dan Lai Teik Woon (Bawah 54 kg Lelaki).

Beberapa acara lain, prospek untuk mendapatkan emas dijangka sukar seperti judo yang masih belum memberikan sebarang impak di Stadium Tertutup Zeyar Thiri, manakala ping pong hanya menampilkan seorang wakil di separuh akhir, Lee Wei Beh dalam acara perseorangan wanita.

RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131221/su_01/Dua-lagi-genapkan-40#ixzz2o3XoXEBp © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment