JARINGAN penyamaan Thamil Arasu
gagal membawa Harimau Muda melangkah ke final acara bola sepak Sukan SEA 2013.
NAY PYI TAW, Myanmar - Impian
skuad Harimau Muda untuk mencipta hatrik pada Sukan SEA 2013 tidak kesampaian.
Skuad kendalian Datuk Ong Kim
Swee itu tewas 3-4 kepada Indonesia pada aksi separuh akhir menerusi penentuan
sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang 120 minit
permainan di Stadium Zeyyer Thiri semalam.
Kekalahan itu mengimbas kembali
final Sukan SEA 2011 di Jakarta apabila Indonesia tewas dengan jaringan yang
sama pada aksi yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno.
Selain kegagalan A. Thamil
Arasu dan Shahrul Mohd. Saad menyempurnakan dua sepakan penalti yang pertama,
pengalaman kapten dan penjaga gol Indonesia, Kurnia Meiga Hermansyah dilihat
sebagai faktor yang menyebabkan Harimau Muda tewas.
Bagaimanapun, Kim Swee tidak
mahu menyalahkan mana-mana pemain di sebalik kekalahan tersebut.
"Jangan salahkan Thamil
dan Shahrul. Saya bertanggungjawab sepenuhnya di atas kekalahan ini dan
bukannya disebabkan oleh pemain.
"Kami tidak tewas dalam
permainan sebenar tetap kami kalah menerusi penentuan sepakan penalti. Bagi
saya, pemain-pemain telah menunjukkan karakter yang baik sepanjang 120 minit
permainan tersebut.
"Sudah tentu kami
menampilkan aksi yang agak hambar pada separuh masa pertama tetapi kami berjaya
bangkit pada babak kedua. D. Saarvindran sepatutnya mengambil sepakan penalti
yang pertama tetapi dia telah dikeluarkan.
"Seperti mana yang saya
katakan sebelum ini, ketiadaan tujuh pemain utama dan tempoh rehat yang singkat
selepas kami terpaksa bermain selang sehari sedikit sebanyak memberi kesan
kepada para pemain," kata Kim Swee kepada pemberita pada sidang akhbar
semalam.
Pada aksi sepauh akhir semalam,
Thamil berpeluang untuk meletakkan Harimau Muda di depan pada minit ke-10
tetapi percubaannya daripada luar kotak penalti terus ke dakapan Kurnia Meiga.
Pada minit ke-24, rembatan
Yandi Sofyan Munawar dari luar kotak penalti terkena palang gol Malaysia.
Bagaimanapun, gawang Harimau
Muda akhirnya bocor pada minit ke-30 hasil jaringan pemain tengah Indonesia,
Bayu Gatra Sanggiawan.
Jaringan itu diperoleh menerusi
gerakan cantik satu dua antara Bayu Gatra dan Yandi Sofyan Munawar, sekali gus
menewaskan penjaga gol, Mohd. Izham Tarmizi Roslan pada minit ke-30.
Peluang terbaik Harimau Muda
untuk mengikat kedudukan 1-1 hadir pada masa kecederaan babak pertama tetapi
Mohd. Irfan Fazail gagal menyambar bola yang jatuh di hadapan pintu gol
Indonesia hasil sepakan percuma Mohd. Fadhli Mohd. Shas.
Harimau Muda menampilkan aksi
yang lebih baik pada babak kedua terutamanya selepas Kim Swee mengeluarkan
Nazirul Naim Che Nashim pada minit ke-59 bagi memperkemaskan jentera serangan
dengan memasukkan Md. Rozaimi Ab. Rahim.
Pada minit ke-65, Mohd. Nasir
Bashrudin pula dikeluarkan bagi digantikan dengan Muhammad Nazmi Faiz Mansor
dan kemasukan arkitek muda negara itu berjaya memberikan impak yang besar.
Kim Swee membuat pertukaran
ketiga apabila menggantikan Saarvindran dengan Izzaq Faris Ramlan pada minit
ke-84.
Gol yang dicari-cari Harimau
Muda hadir pada minit ke-85 menerusi jaringan Thamil dan kedudukan 1-1 itu
berlarutan sehingga tamat masa tambahan, sekali gus memaksa kemenangan
ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.
Pada aksi penentuan sepakan
penalti, Kurnia Meiga berjaya menyelamatkan sepakan daripada Thamil dan Shahrul
tetapi gagal menyelamatkan sepakan Nazmi Faiz, Fadhli dan Rozaimi.
Indonesia pula bermula agak
baik apabila sepakan Alfin Ismail Tuasalamony, Diego Robbie Michiels, Yandi
Sofyan Munawar dan Yohanes Ferinando Pahabol gagal dibasa Izham Tarmizi,
manakala percubaan Manahati Lestusen Lestusen melepasi palang gol.
Kini, Harimau Muda akan bermain
pada penentuan pingat gangsa menentang Singapura esok.
Singapura tewas 0-1 kepada
Thailand dalam satu lagi aksi separuh akhir stadium yang sama, semalam.
Dalam pada itu, skuad bola
sepak wanita negara turut tewas 0-4 kepada Vietnam pada separuh akhir dan akan
bertemu tuan rumah, Myanmar pada penentuan pingat gangsa.
RUJUKAN : KOSMO ONLINE 20.12.13
No comments:
Post a Comment