Ad

Friday, 10 January 2014

Awang Batil bakal jadi produk pelancongan

 
RAHMAT MD. NOH
KHAZANAH seni budaya perlu dipertahankan dan dipelihara semua pihak khususnya warga Perlis agar ia terus subur di persada seni tanah air. Apatah lagi ia merupakan satu-satunya seni warisan negeri yang berbeza dengan negeri-negeri lain.

Malahan, Awang Batil turut mempunyai keistimewaannya yang tersendiri sehingga mampu mengangkat seni warisan Perlis ke seluruh pelosok negara.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Perlis, Rahmat Md. Noh berkata, kesenian warisan ini akan terus menjadi keutamaan dalam program kebudayaan yang dianjurkan jabatan itu, khususnya di Perlis.

"Seperti kita tahu, setiap negeri ada seni warisan yang tersendiri. Negeri Kelantan megah dengan seni tradisi Dikir Barat dan Wayang Kulit, Johor pula kaya dengan Tarian Kuda Kepang, Kedah terkenal dengan Mek Mulong, tetapi sekiranya Perlis tidak mengambil peduli tentang Awang Batil, maka tiadalah kesenian dan warisan budaya dari negeri Perlis.

"Oleh itu, kami di JKKN amat berbesar hati untuk menjadikan seni warisan ini sebagai keutamaan agar ia berupaya mengekalkan adat tradisi yang diagungkan orang terdahulu," katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Dalam pada itu, tambahnya, JKKN turut membantu menyediakan dana demi mengangkat martabat kesenian berkenaan.

"Fokus kami pada tahun baharu ini adalah untuk memelihara seni warisan Awang Batil, jadi kami juga menyediakan dana untuk membantu mempopularkan kembali kesenian itu.

"Sumbangan tersebut bertujuan menjadikan Awang Batil sebagai satu aset pelancongan negeri kepada pelancong, baik dalam negara mahupun luar negara.

"Dana ini akan disalurkan mengikut beberapa fasa yang direncanakan iaitu membina bengkel membuat peralatan kesenian Awang Batil seperti topeng, gendang, dan biola serta menyediakan dewan terbuka bagi membolehkan Awang Batil beraksi kepada pelancong.

"Selain itu, kami juga akan mewujudkan satu program mentor-mentee untuk mendedahkan ilmu Awang Batil kepada orang ramai yang berminat untuk mempelajarinya," jelasnya.

Menurutnya, dengan pelaksanaan perancangan tersebut, Awang Batil akan menjadi salah satu produk pelancongan berjadual dan bertiket secara terus dari rumahnya sendiri.

"Rumah Awang Batil akan dijadikan lokasi pelancongan untuk menyaksikan seni persembahan dan peralatan, tetapi dikenakan tiket serta mengikut jadual yang ditetapkan kelak," ujarnya.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140111/lk_02/Awang-Batil-bakal-jadi-produk-pelancongan#ixzz2q3ECIon0 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment