PERSEMBAHAN Awang Batil
diselitkan dengan lakonan sketsa bagi menarik perhatian penonton ketika
mengadakan persembahan di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur pada tahun 2006
yang lalu.
ASALNYA persembahan Awang Batil
dikenali Awang Belanga. Pertukaran itu adalah selari dengan penukaran alat
muzik utama daripada belanga kepada batil.
Batil, alat muzik seperti
mangkuk tembaga dipilih kerana ia menghasilkan bunyi yang lebih sedap, selain mudah
digunakan.
Dalam melakukan persembahan,
Awang Batil akan mengembara dari sebuah rumah ke sebuah rumah lain, dari sebuah
kampung ke kampung lain di negeri-negeri di Kedah, Pulau Pinang dan
daerah-daerah di wilayah selatan Thailand.
Lazimnya, Awang Batil akan
duduk di tengah-tengah rumah ketua kampung yang dikelilingi penduduk setempat.
Kehebatan Awang Batil terletak
kepada keupayaannya menyampaikan cerita rakyat yang penuh dengan pengajaran dan
teladan dalam suasana penuh emosi.
REJAB ISMAIL
Lebih mengagumkan, penceritaan
itu dilakukan secara terus, tiada skrip mahu pun bantuan dialog lain.
Sebaliknya, idea dan ilham
ceritanya muncul selepas pukulan batil yang menghasilkan rentak berirama.
Sekiranya pukulan batil itu terhenti, maka kisahnya juga akan berhenti.
Menurut Tokoh Budaya Penulis,
Rejab Ismail, selain batil, persembahan Awang Batil diiringi alunan muzik lain
seperti serunai, gendang serta gesekan biola.
Alatan lain yang turut
digunakan Awang Batil ialah topeng hulubalang dan topeng Wak Nujum yang
diperbuat daripada kayu tui dan dihiasi dengan cat berwarna merah.
Pernah pada masa dahulu, Awang
Batil dijadikan tempat rujukan masyarakat untuk menghiburkan diri di samping
mempelajari sesuatu berdasarkan cerita yang dipersembahkan," katanya
ketika ditemui di kediamannya di Kangar, Perlis, baru-baru ini.
Rejab berkata, peranan yang
dimainkan Awang Batil dalam mengisi kekosongan yang ada pada masyarakat ketika
itu menyebabkan dia disamakan seperti sebuah buku cerita, radio, televisyen
serta wayang gambar yang membawa hiburan.
Topik cerita membolehkan kita
berfikir dan belajar sesuatu yang baharu dan sememangnya akan di alami dalam
kehidupan.
Sebab itu juga Awang Batil
dianggap seperti ibu bapa dan guru pada ketika itu," tambahnya lagi.
Rejab berkata, kebiasaannya
Awang Batil akan bercerita sehingga tengah malam dan sekiranya tidak selesai,
cerita itu akan disambung malam esok.
Bukan sesuatu yang asing jika
Awang Batil mengambil antara tiga hingga tujuh malam untuk menghabiskan cerita
yang penuh maksud tersirat walaupun sekadar kisah dongeng.
Sebagai contoh, cerita Awang
Ada Duit Semua Jadi berkisar tentang seorang anak muda miskin yang berani
menerima cabaran seorang raja.
Baginda memberikan 1,000
keping wang emas dan berkahwin dengan puterinya, akan tetapi pemuda tersebut
tidak dibenarkan tinggal bersama isterinya, sedangkan baginda berkehendakkan
seorang cucu.
Berkat usaha dan kebijaksanaan
pemuda tersebut, akhirnya puteri raja tersebut berjaya melahirkan seorang
putera sekali gus pemuda itu diangkat sebagai raja.
Pemuda tersebut menggunakan
wang emas hasil pemberian raja itu untuk mencipta sebuah patung emas berbentuk
orang dan dihadiahkan kepada puteri raja. Pemuda tersebut sebenarnya berada di
dalam patung tersebut dan berjaya bertemu dan tidur bersama isterinya,"
ceritanya.
Tambahnya, Awang Batil
merupakan seni warisan tradisional yang berasal dari utara Semenanjung dan ia
adalah satu-satunya terdapat di Perlis.
Awang Batil dari semenjak awal
lagi hingga kini akan bercerita menggunakan dialek Perlis," katanya.
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140111/lk_01/Bercerita-sehingga-7-malam#ixzz2q3CLQ2VK
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment