Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my
TROUSSIER yang berada dalam
radar FAM, kini dikatakan bakal dilamar oleh Persatuan Bola Sepak Tunisia.
SPEKULASI jurulatih baharu
Harimau Malaya semakin hangat apabila Persatuan Bola Sepak Tunisia (FTF)
dilaporkan bakal melamar bekas jurulatih Jepun, Phillipe Troussier.
Troussier sebelum ini telah
dikaitkan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menggantikan bekas
pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal.
Kosmo! kelmarin melaporkan, FAM
sudah bersedia untuk mengumumkan calon pilihan untuk menggantikan Rajagobal
bulan depan.
Kontrak Rajagobal selaku
jurulatih Harimau Malaya berakhir pada 31 Disember lalu.
Begitupun, usaha FTF jelas
dilihat memberikan tamparan kepada FAM dalam usaha menagih sentuhan pengendali
kelahiran Perancis itu yang berjaya membimbing pasukan Jepun mara ke pusingan
kalah mati kempen Piala Dunia 2002.
Setiausaha Agung FAM, Datuk
Hamidin Mohd. Amin kekal dengan pendirian ‘kunci mulut’ dan tetap enggan
mengulas mengenai calon jurulatih baharu Harimau Malaya.
“Saya tidak mahu ulas lebih
lanjut (mengenai tawaran FTF yang berminat untuk mendapatkan khidmat
Troussier).
“Kita tunggu dan lihat sahaja.
Seperti yang saya janjikan semalam (kelmarin), FAM akan mengumumkan jurulatih
baharu skuad kebangsaan selewat-lewatnya pada Februari depan,” katanya.
Troussier yang juga dikenali
sebagai 'Doktor Bomoh Putih' di Eropah, pernah mengendali tujuh pasukan
kebangsaan bermula dengan Ivory Coast, Nigeria, Burkina Faso, Afrika Selatan,
Jepun, Qatar dan Maghribi.
Tunisia kini terdesak untuk
mencari jurulatih baharu dalam usaha mempersiapkan pasukan menjelang aksi
kelayakan Piala Negara-Negara Afrika yang akan bermula pada September depan.
Selain Troussier, FAM turut
dikaitkan dengan bekas jurulatih Singapura, Radojko Avramovic; jurulatih
Sarawak; Robert Alberts; bekas jurulatih Liverpool, Alex Miller; bekas pemain
Chelsea, Marcel Desailly dan pengendali Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee.
Buat sementara ini, Kim Swee
ditugaskan menjadi pengendali sementara Harimau Malaya.
Skuad Harimau Malaya masih
memiliki baki satu perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yemen pada
Mac depan.
SUMBER : KOSMO ONLINE 11.1.14
No comments:
Post a Comment