Ad

Friday, 10 January 2014

Sahut cabaran sebagai anak jadi Perlis

 
MEGAT Mohd. Noor menunjukkan kebolehannya mempersembahkan persembahan Awang Batil di Kangar baru-baru ini. - utusan/Azlan Hadi
PERASAAN sedih dan terkilan selepas diejek rakan sewaktu belajar di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1996 membuatkan dirinya perlu bangkit dan mempertahankan seni warisan yang diperjuangkan nenek moyang dahulu.

Pensyarah Pendidikan Muzik, Institut Pendidikan Guru, Kampus Perlis, Megat Mohd. Noor Megat Teh, berkata, beliau tidak peduli dengan sindiran rakan-rakan, sebaliknya dia tidak akan tunduk dan rebah hanya semata-mata Perlis pada ketika itu tiada identiti sebenar dalam bidang kebudayaan.

"Saya malu pada diri sendiri dan tercabar sekiranya saya tidak cuba mempertahankan seni warisan negeri, pada hal saya merupakan anak kelahiran negeri tersebut.

"Mereka (rakan-rakan) ketika itu cukup berbangga dengan seni warisan yang mereka ada seperti dari negeri Kelantan, Johor, Negeri Sembilan dan Perak, tetapi Perlis pada zaman itu hanya menumpang bermain dengan kesenian orang lain, bukan kesenian milik negerinya sendiri.

"Maka, situasi itu mendesak dan mendorong saya mempertahankan identiti seni Perlis. Saya cuba membangunkan kembali seni tersebut dan berusaha membuka mata dunia bahawa Perlis juga mempunyai warisan keramat yang tersendiri," luahnya kepada S2.

Tambahnya, pewaris Awang Batil iaitu Ramli Mahmud merupakan rakan karibnya sejak beliau berkecimpung dalam bidang kesenian.

"Kami selalu bekerjasama dalam melakukan persembahan berkaitan dengan kesenian rakyat terutamanya Awang Batil. Saya akan bermain alat muzik serta menyanyi lagu tradisional, manakala dia (Ramli) pula akan mempersembahkan Awang Batil.

"Pernah suatu ketika dahulu kami bergabung dalam membuat satu persembahan Awang Batil di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur sekitar tahun 2004. Kami bergabung kerana persembahan Awang Batil tidak mendapat sambutan daripada penonton berbanding dengan persembahan lain seperti Dikir Barat, Wayang Kulit dan sebagainya. Mungkin disebabkan Awang Batil menggunakan dialek Perlis yang pekat menyukarkan penonton untuk memahaminya.

"Jadi, kami cuba ubah dan menyelitkan satu lakonan dalam persembahan Awang Batil untuk menarik perhatian penonton," ceritanya.

Hasil sentuhan tersebut, katanya, persembahan Awang Batil dapat difahami dengan mendapat tepukan daripada penonton.

Menurut Megat, sekiranya Awang Batil tidak mempunyai pewaris daripada keluarganya, maka beliau bersedia menerima tanggungjawab menjadi Awang Batil demi meneruskan perjuangan seni tradisional itu.

"Saya menerima wasiat tersebut untuk mengekalkan adat tradisi Melayu. Walaupun saya tidak begitu pandai meniru gerak seni, gaya persembahan, bermain biola dan serunai serta rentak irama muzik yang asli, namun saya boleh menceritakan kepada generasi akan datang tentang kisah Awang Batil," jelasnya.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140111/lk_03/Sahut-cabaran-sebagai-anak-jadi-Perlis#ixzz2q3FLlrqs © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment