RAMLI yang mewarisi bakat
menjadi Awang Batil daripada Allahyarham bapanya, Mahmud Wahid.
IMPIANNYA untuk mempopularkan
seni persembahan Awang Batil tidak pernah pudar meskipun pernah berhenti
seketika akibat sikap sinis masyarakat seolah-oleh merendah-rendahkan seni
warisan tersebut.
Selaku waris tunggal yang
mewarisi seni persembahan tradisi negeri Perlis itu, Ramli Mahmud, nekad
meneruskan legasi keluarga yang dipopularkan oleh ayahnya, Mahmud Wahid.
"Saya pernah terluka dalam
memperjuangkan persembahan tradisi Awang Batil. Saya juga pernah berputus asa
dan pernah terdetik di hati untuk tidak mempedulikan nasib persembahan itu
kerana luka lama masih lagi terkesan dek ejekan dan sindiran orang terhadap
seni itu.
"Namun atas rasa
tanggungjawab dan sokongan rakan, saya kembali memukul batil dan meneruskan
warisan keluarga ini," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung
Pokok Sena, Chuping, baru-baru ini.
Secara jujur katanya, dia tidak
diajar secara khusus untuk menjadi Awang Batil. Semuanya secara kebetulan.
Anak bongsu daripada lima adik
beradik itu berkata, ketika berusia enam tahun, dia sering mengikuti ayahnya ke
merata tempat mengadakan persembahan Awang Batil.
Selain itu, ujarnya, setiap
malam sebelum tidur, ayahnya akan bercerita mengenai kisah Awang Batil sehingga
dia terlena.
"Saya juga tidak
diwasiatkan untuk menjadi waris kepada Awang Batil, sebaliknya saya yang
mengambil tanggungjawab tersebut," ujarnya.
Perjuangan warisan perlu
diteruskan biarpun terpaksa mengikut rentak dan peredaran zaman.
Pengalaman mengadakan
persembahan di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur pada tahun 2004, yang
memperlihatkan penonton tertanya-tanya tentang persembahan itu memberi isyarat
kepada mereka supaya membuat perubahan.
Lantaran itu persembahan Awang
Batil diubah dan diolah mengikut cita rasa penonton semasa.
Meskipun sukar untuk melakukannya,
namun ia harus dipertahankan agar warisan tersebut tidak lenyap ditelan arus
modenisasi.
"Antara pembaharuan adalah
kami sketsa dalam persembahan Awang Batil," katanya.
Perubahan itu berjaya memikat
hati penonton selain tambahan lawak jenaka tanpa mengubah bentuk asal
persembahannya.
"Sekiranya dibandingkan
bentuk persembahan dahulu, hanya seorang sahaja yang bercerita dan memainkan
kesemua watak dalam penceritaannya itu," jelasnya.
Selain itu, penggunaan bahasa
yang mudah difahami turut diperkenalkan untuk kebaikan penonton.
"Kalau dahulu bahasa yang
digunakan adalah dialek Perlis yang lebih mendalam menyukarkan penonton untuk
memahami terutamanya penonton yang bukan berasal dari utara tanah air. Jadi,
kami mengimbangi cara penggunaan bahasa mengikut keutamaan penonton.
"Sekiranya persembahan itu
dibuat di Perlis, Kedah atau Pulau Pinang, saya masih lagi menggunakan bahasa
dan loghat Perlis yang mudah difahami tetapi ada juga menggunakan bahasa Melayu
biasa," jelasnya.
Kini, kisah penglipurlara itu
mula mendapat perhatian dan permintaan terhadap seni persembahan itu juga tidak
pernah putus.
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140111/lk_05/Sebelum-tidur-ayah-akan-bercerita#ixzz2q3GB8QKL
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment