Ad

Friday, 10 January 2014

Ramli berjaya cipta kelainan - Rejab

 
Gesekan biola Ramli Mahmud elemen terbaharu dalam persembahan Awang Batil. - UTUSAN/AZLAN HADI
RAMLI Mahmud bukan sahaja berjaya membawa kelainan dalam persembahan Awang Batil tetapi menyesuaikan persembahan itu supaya ia boleh diterima generasi hari ini.

Tokoh Budaya Penulis, Rejab Ismail berkata, elemen 'termahal' dalam persembahannya adalah dengan menyelitkan penggunaan biola dalam memainkan lagu-lagu klasik dan moden yang popular.

"Elemen ini sebenarnya sukar untuk dipersembahkan kerana tidak semua orang boleh melakukan dalam masa serentak untuk bermain batil, memukul gendang sambil bercerita kisah-kisah Awang Batil.

"Realitinya, persembahan Awang Batil yang dipersembahkan oleh Ramli adalah terbaik daripada sebelum ini, bahkan beliau menguasai kesemua cerita tentang hal tersebut," jelasnya.

Beliau menambah, Ramli juga mampu mengimbangi dan menyelaraskan gerak seni Awang Batil supaya mudah difahami penonton hari ini.

"Hakikatnya, Ramli sebenarnya kreatif dalam mempelbagaikan cerita mengenai kisah Awang Batil, menggunakan teknik yang mampu menarik penonton khususnya golongan muda," ujarnya.

Rejab berkata, kekecewaan Ramli ekoran sambutan dingin masyarakat terhadap persembahan itu telah menyebabkan dia menyerahkan peralatan muzik kepada pihak Muzium Kangar untuk pameran.

"Saya sanggup menebalkan muka untuk meminta kembali peralatan permainan tersebut bagi membolehkan seni persembahan itu dihidupkan semula.

"Saya juga berjaya memujuk Ramli untuk kembali membuat persembahan demi meneruskan legasi seni kebanggaan negeri Perlis ini," katanya.

Menurut beliau, Ramli pada mulanya, enggan meneruskan persembahan itu kerana bimbang penerimaan orang ramai.

"Akhirnya, dia (Ramli) menyahut cabaran untuk meneruskan warisan itu sehingga ke akhir hayatnya," ceritanya lagi.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140111/lk_06/Ramli-berjaya-cipta-kelainan---Rejab#ixzz2q3UUuu5x © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment