Ad

Saturday, 18 January 2014

'Macam tak ada sinar'

Oleh FERZALFIE FAUZI dan SUFIAN HADI MOHD. SOJAK
sukan@utusan.com.my
 
Khairy Jamaluddin
KUALA LUMPUR - Sudahlah dikejutkan dengan berita Pengurus Besar, Kenny Goh mahu meletak jawatan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerima satu lagi tamparan apabila ditegur oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Hendak buat perubahan tetapi tidak jadi, itu kata Khairy ketika datang menonton kejohanan Siri Super Terbuka Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam, yang menyaksikan sebahagian besar wakil negara tersingkir awal.

Walaupun Presiden baharu, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff memerlukan masa untuk membuat perancangan, namun Khairy menegaskan, beliau juga mempunyai hak menyatakan kebimbangan mengenai prestasi semasa badminton.

Kem badminton negara turut pulang dengan keputusan mengecewakan pada Sukan SEA di Myanmar minggu lalu dengan sekadar meraih satu pingat emas menerusi Woon Khe Wei-Vivian Hoo.

"Prestasi di Myanmar kurang memuaskan dan di Terbuka Malaysia sekarang tidak beberapa bagus. Saya sudah memberi masa kepada kepimpinan baharu BAM untuk buat beberapa perubahan nampaknya seperti tidak ada sinar di hujung terowong," katanya kepada media ketika ditemui di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam.

Tengku Mahaleel mula memimpin BAM sejak Julai tahun lalu namun sejak dari itu beliau dilihat masih kurang jelas tentang perubahan yang ingin dilakukan dan ia tidak selancar seperti yang dijangkakan oleh peminat badminton tanah air.

Jelas Khairy, selepas Terbuka Malaysia beliau akan berjumpa kepimpinan BAM untuk membincangkan beberapa perkara serta mendapat penjelasan berikutan Tengku Mahaleel terlalu banyak menggalas tanggungjawab dalam badan tersebut.

"Tidak ada pengagihan tugas yang jelas. Tidak beberapa jelas mengenai jawatankuasa, yang ada membuat keputusan di luar skop. Kedudukan hari ini masih sama, seperti tahun lepas masih bergantung kepada seorang pemain (Datuk Lee Chong Wei).

"Tidak cukup pemain untuk berada di kedudukan 20 teratas dunia, begitu juga pendedahan di peringkat kebangsaan dan peringkat tertinggi. Sebelum ini ramai beraksi di kejohanan antarabangsa tetapi dikurangkan," katanya.

Ujar Khairy, BAM juga tidak ada petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas mengenai kedudukan pemain di ranking antarabangsa dan dari segi pembangunan juga masih banyak bergantung kepada Sekolah Sukan serta Majlis Sukan Negara (MSN).

"Bukan saya hendak salahkan kepimpinan baharu tetapi saya hanya meluahkan kebimbangan kerana saya risau mereka tidak tangani masalah," katanya.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140117/su_01/Macam-tak-ada-sinar#ixzz2qnRezoxe © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment