Ad

Saturday, 18 January 2014

Harimau Selatan memang ada kelas

Oleh NURUL HUDA HASSAN, MOHAMAD FAIZAL HASHIM, ISWAN SHAFIQ MAT ISA dan MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
sukan@utusan.com.my
 
Amri Yahyah (kiri) menanduk gol pembukaan Johor Darul Ta'zim dalam perlawanan Liga Super menentang Perak di Stadium Larkin, Johor Bahru, malam tadi. - MINGGUAN/RAJA JAAFAR ALI
KUALA LUMPUR - Pasukan yang menjadi tumpuan dalam saingan Liga Malaysia musim ini, Johor Darul Ta'zim (JDT) menepati ramalan apabila mengutip tiga mata pada perlawanan pembukaan Liga Super selepas menumbangkan Perak 2-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru semalam.

Bermain di hadapan lebih 30,000 penyokong setia, skuad Harimau Selatan itu bagaimanapun terpaksa bekerja keras apabila Perak yang menampilkan ramai pemain muda berjaya bertahan dengan baik sebelum skuad kendalian Cesar Ferrando Jiminez itu memastikan kemenangan milik mereka.

Gol pasukan JDT dijaringkan oleh bekas pemain Selangor, Mohd. Amri Yahyah pada minit ke-38, manakala gol kedua diperolehi daripada pemain import dari Argentina, Luciano Figueroa, dua minit sebelum permainan tamat.

Harimau Selatan hampir mendapatkan gol pertama mereka menerusi bintang import, Pablo Aimar pada minit keenam namun sepakannya tersasar.

JDT memperoleh gol pertama menerusi tandukan ke belakang Amri hasil sepakan sudut dari sebelah kanan pada minit ke-38.

Masuk separuh masa kedua, tuan rumah terus memberi tekanan kepada Perak dengan Figueroa hampir menjaringkan gol kedua untuk JDT, namun tandukannya melepasi gawang.

Bekas pemain Panathinaikos itu menebus kehampaan pada minit ke-88 apabila dia mudah menyepak masuk hasil hantaran cantik Safiq Rahim dari luar kotak penalti.

Dalam satu lagi perlawanan, pemain import kelahiran Guinea, Mamadou Hady Barry muncul wira Terengganu apabila meledak dua gol pada minit ke-22 dan 66 bagi menewaskan PKNS 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Walaupun ketinggalan terlebih dahulu apabila pelawat berada di depan melalui jaringan pemain antarabangsa Indonesia, Hamka Hamzah pada minit ke-17, namun Sang Penyu bangkit dengan penuh bergaya.

Tidak sampai empat minit kemudian, tuan rumah memperolehi gol penyamaan apabila Barry bijak memperdayakan pertahanan PKNS melalui tandukan cantik.

Dia menggandakan jaringan selepas mudah menewaskan penjaga gol pelawat, Md. Remezey Che Ros hasil umpanan jauh tonggak pertahanan, Mazlizam Mohamad.

Seperti mana pasukan jirannya, Kelantan juga bangkit daripada ketinggalan untuk mengutip tiga mata penuh apabila membenam cabaran pasukan yang baru dinaikkan pangkat ke Liga Super musim ini, Sime Darby dengan kemenangan 2-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Beraksi di hadapan 25,000 penyokong setia, The Red Warriors bagaimanapun dikejutkan dengan jaringan awal pasukan pelawat pada minit ketujuh hasil sepakan percuma Mohd. Fazdli Shaari yang gagal dijangkau Khairul Fahmi Che Mat.

Bersambung babak kedua, Kelantan yang seakan-akan mendapat suntikan semangat daripada ketua jurulatih baharu, Steve Darby mengubah corak permainan lebih pantas sehingga beberapa kali mengancam kubu gol pelawat.

Asakan bertali arus Kelantan itu akhirnya berjaya membuahkan hasil pada minit ke-60 apabila Mohammed Ghaddar yang berada didalam kotak penalti bijak menyudahkan hantaran Forkey Doe.

Dia kemudian bertindak menjaringkan gol kemenangan pada minit-79 hasil sepakan penalti.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berdepan sebarang masalah apabila menewaskan Sarawak 2-0 melalui penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Marlon Alex James pada minit ke-17 dan Christie Jayaseelan, minit ke-35.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140119/su_01/Harimau-Selatan-memang-ada-kelas#ixzz2qnLg88TT © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment