Oleh IKHWAN IDERIS
ikhwan.ideris@kosmo.com.my
BARISAN pegawai dan pemain
Pahang menjulang Piala Sultan Ahmad Shah selepas menewaskan Lions XII 1-0 di
Stadium Darul Makmur, Kuantan kelmarin.
SKUAD Tok Gajah masih mencari
rentak permainan sebenar meskipun berjaya menjulang Piala Sultan Ahmad Shah
selepas menewaskan Lions XII 1-0 pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Darul
Makmur, Kuantan kelmarin.
Ketua Jurulatih, Ronald Smith
berkata, perlawanan tersebut masih tidak menunjukkan potensi sebenar anak-anak
buahnya dan peminat boleh mengharapkan corak permainan yang lebih mantap
selepas ini.
"Ini baru perlawanan
pertama musim ini, saya tidak menjangkakan semuanya akan menjadi dalam
percubaan pertama dan pemain dilihat agak gementar.
"Kami juga tidak
berpeluang melakukan persediaan pra-musim yang baik disebabkan faktor keadaan
seperti banjir selain tempoh rehat antara musim.
"Dengan lebih banyak
latihan dan perlawanan, saya percaya prestasi pasukan akan menjadi lebih
baik," katanya kepada pemberita sejurus tamat perlawanan tersebut.
Bagi Smith, kebimbangan
utamanya kini ialah bagaimana untuk mengharungi baki perlawanan yang padat
musim ini dengan kecederaan yang dialami dua tonggak utama pasukan, Dickson
Nwakaeme dan R. Surendran.
"Itu masalah kami
sekiranya terpaksa mengharungi jadual perlawanan yang padat. Sekiranya berlaku
kecederaan, pemain terlepas banyak perlawanan dan diharap tiada sebarang
kecederaan lain yang mampu mengganggu musim kami," katanya.
"Namun, kami masih
mempunyai barisan pemain-pemain lain dan kesemua mereka akan mendapat peluang
masing-masing," katanya.
Bagaimanapun, Smith sepatutnya
boleh menarik nafas lega setelah melihat corak permainan Matias Ruben Conti
yang meledakkan gol kemenangan pada hari ulang tahun kelahirannya yang ke-24.
Penyerang sensasi dari
Argentina itu juga menyuarakan kesediaannya untuk mengisi kekosongan yang
ditinggalkan rakan sepasukan.
"Saya sentiasa bersedia
(mengisi kekosongan yang ditinggalkan Nwakaeme) dan ingin bermain dalam setiap
perlawanan, itulah sebabnya saya di sini.
"Meskipun berasa rindu
dengan keluarga dan sahabat handai, saya gembira di sini dan bermain untuk
pasukan Pahang," katanya.
Sementara itu, bagi Presiden
Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah
berkata, kemenangan kali ini adalah sangat istimewa bagi dirinya dan penyokong
pasukan Pahang.
"Kami menjulang piala
Tuanku ayahanda saya dan bermain perlawanan ini di Stadium Darul Makmur buat
pertama kali. Meskipun hanya tiga mata, ia sangat penting dan sentimental.
"Saya sangat berpuas hati
dengan cara jurulatih (Smith) mengendalikan pasukan, pemain juga memberikan
respon yang baik dan Alhamdulillah, kami dapat keputusan yang dimahukan.
"Setelah menjadi juara dan
kemasukan muka baharu, setiap pemain masih beraksi baik dan saya yakin mereka
akan mempamerkan kerja berpasukan yang lebih rapi dan licin selepas ini,"
katanya.
KOSMO ONLINE 19.1.14
No comments:
Post a Comment