2014/01/11 - 03:40:48 AM Dr
Sharifah Hayaati Syed Ismail Cetak Emel Kawan
Umat Islam wajar menilai amalan
untuk kesenangan dunia, akhirat
Muhasabah adalah kata kunci
kepada salah satu metod penting pengukuhan pencapaian yang cemerlang dalam
segenap aspek kehidupan. Rasulullah SAW mendidik umat Islam menilai dirinya
sendiri dan beramal sesuai dengan penilaian itu untuk kesenangan dunia serta
akhirat.
Sabda Rasulullah SAW: “Orang
yang bijak itu adalah yang menghisab (menilai) dirinya sendiri serta beramal
untuk kehidupan sesudah mati. Sedangkan orang yang lemah adalah yang dirinya
mengikuti hawa nafsunya serta berangan-angan terhadap Allah SWT.” (Riwayat Imam
al-Tirmizi)
firman Allah SWT yang
bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan,
kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah
kamu mencari-cari keaiban orang lain dan janganlah kamu mengumpat akan
setengahnya yang lain.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)
Saidina Umar bin al-Khattab
berkata: “Hisablah (nilailah) diri kamu sebelum kamu dihisabkan dan hitunglah
(amal kebaikan) kamu sebelum kamu dihitungkan (di hari akhirat kelak).”
Bermuhasabah akan membolehkan
seseorang itu peka serta menyedari kelemahan dirinya seterusnya bersedia
melakukan penambahbaikan. Kesedaran yang terhasil daripada amalan muhasabah
adalah anugerah Allah SWT kerana dari padanya seseorang boleh mengorak langkah
mengubah nasib diri.
Firman Allah SWT yang
bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT tidak mengubah nasib sesuatu kaum kecuali
merekalah yang mengubah nasib mereka sendiri.”
Sebaliknya apa yang amat
membimbangkan akibat tiada muhasabah diri ialah seseorang tidak menyedari
kelemahan dan kesilapannya menyebabkan ia berterusan dilakukan. Sedangkan pada
masa sama, peka pula terhadap kelemahan orang sehingga suka mencari dan
mendedahkan kelemahan orang lain.
Sedangkan larangan ini jelas
disebut dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman!
Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian daripada
sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari keaiban orang lain dan
janganlah kamu mengumpat akan setengahnya yang lain.” (Surah al-Hujurat, ayat
12)
Bina karektor individu
Muhasabah juga mampu
mengenalkan kekuatan dan potensi sendiri. Kesedaran ini amat berguna untuk
memacu kejayaan serta membentuk sikap, membina karakter individu atau pekerja
dengan nilai murni seperti bersifat terbuka, positif, yakin diri serta
bercita-cita tinggi meningkatkan kejayaan.
Sifat diri untuk menjadi
pekerja terbaik melalui usaha muhasabah adalah akhlak mulia lagi terpuji.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Berbuat baiklah kamu, sesungguhnya Allah SWT
menyukai mereka yang berbuat kebaikan.”
Sebagai langkah untuk
meningkatkan kejayaan diri serta organisasi, muhasabah dalam pelbagai cara dan
sistem perlu dibudayakan. Langkah strategik muhasabah diri boleh dilakukan
dengan memikirkan sasaran kerja harian, mingguan dan bulanan meliputi beberapa
soalan asas.
Contohnya, apakah tugasan atau
kerja yang telah berjaya dilakukan semalam, sejauh manakah ia telah menepati
apa yang dirancang. Jika tidak menepati sasaran, mengapa? Adakah kerja
dilakukan dengan cara betul dan benar? Bagaimana untuk mengatasi kelemahan
serta meningkatkan kualitinya?
Muhasabah terhadap sasaran
kerja harian bukan saja dapat mengenalpasti masalah tetapi secara tidak
langsung mewujudkan momentum kerajinan kerja. Apabila status pencapaian kerja
sentiasa dikemaskini, kekuatan dan kelemahan dikenal pasti, maka semangat kerja
akan dapat dibajai.
Bagi organisasi, muhasabah
kerja yang telah dilaksanakan melalui pelbagai mekanisme dan sistem pengurusan
seperti perbincangan, mesyuarat, taklimat pagi, audit nilai, pengaduan awam,
Hari Bertemu Pelanggan, penyediaan laporan kerja perlu dihayati serta
dibudayakan.
Tujuan muhasabah kerja
keseluruhannya untuk mengelakkan kerugian pada diri, organisasi dan masyarakat
sama ada pada nilai usia, tenaga, masa mahupun wang ringgit yang ditegah selaras
firman Allah SWT yang bermaksud: “Jangan kamu meletakkan diri kamu pada
kehancuran.”
Usaha sentiasa diredai
Selain matlamat keseluruhan,
tindakan bermuhasabah ialah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT supaya
segala usaha titik peluh dan diri diredai oleh-Nya, selain mengelak diri
daripada menjadi muflis kerana pekerjaan dibuat tiada kebenarannya.
Daripada Abu Hurairah,
Rasulullah SAW bersabda: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis itu? Sahabat
menjawab: Orang yang muflis di antara kami adalah orang yang tidak memiliki
dirham dan tidak memiliki kesenangan. Rasulullah bersabda: Orang yang muflis
dari umatku adalah orang yang datang pada hari kiamat dengan solat, puasa dan
zakat, namun ia juga datang dengan membawa (dosa) menuduh, mencela, memakan
harta orang lain, memukul orang lain. Maka orang itu diberikan pahala kebaikan
yang dimiliki. Hingga habis pahala kebaikannya lalu dia pun dicampakkan ke
dalam api neraka.” (Riwayat Imam Muslim)
Besarnya hikmah bermuhasabah
ini, marilah kita sentiasa melakukannya supaya kerja hari ini lebih baik dari
semalam dan sentiasa mendapat rahmat serta keredaan Allah SWT.
SUMBER : BERITA HARIAN ONLINE
11.1.14
No comments:
Post a Comment