Memperingati dan menghayati
perjalanan hidup Rasulullah SAW juga boleh menyemaikan perasaan cinta kepada
Baginda. Kini ramai orang semakin jauh daripada perasaan cinta kepada
Rasulullah SAW.
Sabda Rasulullah SAW: “Belum
sempurna iman seseorang daripada kamu, kecuali aku lebih dikasihinya berbanding
dengan keluarganya, dan hartanya dan manusia keseluruhannya.” (Riwayat Muslim)
Saidina Umar al Khattab berkata
kepada Nabi Muhammad SAW: “Engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu
kecuali diriku sendiri. Baginda SAW berkata: Tidak, wahai Umar. Sampai aku
lebih kamu cintai daripada dirimu sendiri. Saidina Umar berkata: “Demi Allah
SWT, engkau sekarang lebih aku cintai daripada diriku sendiri. Baginda SAW
berkata: Sekarang wahai Umar.” (Riwayat Bukhari)
Tiada salahnya meraikan sesuatu
perayaan kerana Rasulullah SAW sendiri pernah menyebut mengenai hari kebesaran.
Semasa datang ke Madinah, Nabi Muhammad SAW mendapati orang Yahudi berpuasa
pada Hari Asyura iaitu 10 Muharam.
Nabi SAW bertanya: “Kenapa kamu
berpuasa pada hari Asyura? Jawab mereka: Ini adalah hari peringatan bila mana
Firaun dikaramkan dan Musa dibebaskan. Kami puasa kerana bersyukur kepada
Tuhan. Maka Rasulullah bersabda: Kami lebih patut menghormati Musa dibanding
kamu.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Salafussoleh juga menyambut
Maulidur Rasul. Mantan Mufti Mesir, Prof Dr Ali Jum’ah berkata: “Telah menjadi
kebolehan (keharusan) dan tradisi di kalangan salafussoleh sejak abad ke-4 dan
ke-5 merayakan peringatan maulid Nabi SAW yang agung. Mereka menghidupkan malam
maulid dengan pelbagai ketaatan dan ibadah pendekatan kepada Allah seperti
memberi makan fakir miskin, membaca al-Quran, berzikir, melantunkan puisi dan
puji-pujian mengenai Rasulullah.”
Justeru, tidak perlulah kita
mempertikaikan sama ada boleh atau tidak meraikan sambutan Maulidur Rasul
sebaliknya bersama melakukan sesuatu yang baik supaya umat Islam sentiasa
mencintai Nabi Muhammad SAW. Pastikan pengisian majlis akan mendekatkan hati
kita dengan Baginda.
SUMBER : BERITA HARIAN ONLINE
11.1.14
No comments:
Post a Comment