PATAL Arifin Sandong
menunjukkan lokasi di mana dia dan rakan-rakannya diserang.
PAGI 29 Disember 1963, seperti
biasa anak muda berusia 16 tahun, Patal Arifin Sandong bersama tiga lagi
rakannya yang juga anak jati Pulau Sebatik segak mengenakan seragam tentera
membantu menghantar tentera dan bekalan makanan kepada tentera yang bertugas di
sempadan pada zaman konfrontasi.
Sebetulnya, Patal tidak pernah
pun mendaftar menjadi tentera. Dia bersama rakan-rakannya itu cuma anak kapal
pengangkut kayu milik saudagar Cina.
Namun apabila konfrontasi
meletus, kapal itu disewa tentera untuk menjalankan kerja-kerja logistik. Maka,
keempat-empat anak muda itu tanpa ditemuduga turut dikerah bekerja sebagai
tentera, diberikan pakaian seragam dan dilatih menggunakan senjata.
Kira-kira pukul 8 pagi, kapal
itu tiba-tiba ditahan tentera di sekitar Pulau Sebatik. Diberitahu, kapal
tersebut mahu digunakan untuk menghantar tentera ke Kalabakan pada malam itu
dan mereka tidak dibenarkan pulang.
Atas semangat cintakan negara
katanya, beliau bersama seorang lagi rakan tidak menolak. Namun dua lagi
memohon untuk tidak mengikuti misi itu kerana takut mati ditembak.
Menjelang petang, enam tentera
Melayu diketuai sarjan berasal dari Pulau Pinang masuk ke kapal kecil tersebut.
Begitu juga empat lagi anak muda termasuk Patal Arifin yang ditugaskan untuk
mengemudi kapal ke Kalabakan.
"Setibanya di pertengahan
Sungai Kalabakan, ketika waktu Maghrib, tiba-tiba kami terdengar bunyi tembakan
disusuli percikan api di udara. Kami juga tidak dibenarkan masuk ke Kalabakan
dan masing-masing dalam keadaan berjaga-jaga di situ.
"Sehingga kira-kira pukul
5 pagi, barulah kami menerima isyarat masuk ke Kalabakan. Apabila sampai saja
ke sana, kami lihat lapan anggota tentera kita termasuk seorang pegawai telah
terkorban akibat serangan hendap ketika mereka bersiap untuk solat Maghrib.
"Sementara di pihak
Indonesia, kira-kira 20 anggota Parti Komunis Indonesia (PKI) terkorban. Lalu
kami ditugaskan untuk membawa jenazah dan mayat-mayat berkenaan kembali ke Tawau,"
katanya.
Hanya setengah jam di Tawau,
Patal Arifin bersama rakan-rakannya diarahkan kembali ke Kalabakan untuk
menghantar tentera Gurkha ke sana pula.
"Apabila tiba di satu
selekoh (kini lokasi Kilang Sawit Felda berhampiran Sungai Kalabakan), kami
diserang bertubi-tubi. Saya dan rakan-rakan hanya berlindung dalam perut kapal
sementara askar Gurkha membalas tembakan.
"Mereka memang berani,
sedikit pun tidak mahu undur. Apabila keadaan reda, kami mengangkut mayat
seorang anggota PKI dan meneruskan perjalanan ke Kalabakan. Keadaan kapal penuh
dengan kesan peluru sehingga bumbungnya hancur," ujarnya.
Selesai tugas itu, mereka
kembali ke Tawau dan diarahkan pergi ke Serudong. Seakan tidak mempunyai masa
rehat, arahan itu bagaimanapun tetap dipatuhi.
"Kira-kira pukul 8 malam,
pegawai di situ memberi arahan agar kami mengosongkan kem dan bergerak ke
kawasan berhampiran. Tetapi saya bersama rakan berasa hairan kerana lampu di
situ tidak dipadam.
"Dalam pukul 11 malam,
tiba-tiba kedengaran kem itu diserang bertubi-tubi. Sedikit pun askar Melayu
tidak membalas. Keadaan di sebelah tentera Malaysia senyap sunyi,"
katanya.
Bagaimanapun jelasnya, keadaan
berubah apabila kira-kira 30 tentera Indonesia memasuki kem sementara itu untuk
membuat pemeriksaan.
"Pada ketika itulah askar
kita mula bertindak dengan menembak bertalu-talu. Kesemua 30 anggota PKI itu
rebah seorang demi seorang tanpa dapat melakukan apa-apa," ujarnya yang
amat menyanjungi kebijaksanaan taktikal anggota tentera kita yang berkhidmat pada
malam itu.
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20140104/lk_04/Nostalgia-konfrontasi-Malaysia-Indonesia#ixzz2pRBJ3Cmo
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment