Oleh Azizan Hashim
Ipoh: Perak berterima kasih
kepada Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tungku Ismail Sultan Ibrahim kerana
mengenakan larangan memasuki stadium seumur hidup terhadap penyokong Singa
Selatan yang mencetuskan kekecohan dan ketegangan di Stadium Larkin.
Presiden Persatuan Bola Sepak
Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, tindakan itu harus
dicontohi oleh persatuan negeri lain di mana terdapat penyokong tegar yang
hadir ke stadium semata-mata untuk membuat onar.
Malah Zainol memuji tindakan
pantas pihak polis menahan tiga individu untuk membantu siasatan ekoran
tindakan liar segelintir peminat Johor DT selepas perlawanan antara tuan rumah
dengan Perak Sabtu lalu.
Dalam insiden selepas
perlawanan itu menyaksikan segelintir peminat Johor DT memukul penyokong Perak,
membaling suar ke arah bas pasukan serta peminat.
Manakala dua kenderaan milik
pegawai Perak iaitu kereta pengurus pasukan, Datuk Azhar Ahmad pecah cermin
belakang didakwa dibaling batu manakala kereta penolong pengurus, Ishsam
Shahruddin di conteng perkataan `babi’. “PAFA menyokong penuh tindakan Tunku
Ismail yang juga Presiden Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ) untuk
mengambil tindakan tegas terhadap penyokong pasukan itu yang bertindak di luar
batasan.
Zainol berkata Perak percaya
bahawa tindakan itu dilakukan oleh segelintir peminat nakal di luar stadium
sedangkan keadaan dalam stadium semasa perlawanan terkawal.
“Tiada sebarang insiden tidak
diingini berlaku dalam stadium semasa perlawanan.
“Ini petanda terdapat ramai
penyokong yang hadir betul-betul untuk menyaksikan perlawanan bola sepak.
Begitupun akibat `nila setitik rosak susu sebelanga’.
“Jadi elok sangatlah jika
peminat nakal ini ditegah daripada memasuki stadium, “katanya.
Apapun Zainol berharap insiden itu
tidak menjejas tumpuan Perak yang akan turun bertemu Pahang dalam saingan
pusingan pertama Piala FA di Stadium Perak, malam ini.
“Anggaplah ia lumrah bola
sepak. Saya berharap pemain Perak bangkit dalam perlawanan dengan Pahang ini,”
katanya.
MyMETRO ONLINE 21.1.14
No comments:
Post a Comment