Oleh Aziman Rosdi
Kuala Lumpur: Selepas dua musim
terkandas di pusingan awal Piala FA, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak rela
nasib malang itu berulang kembali.
Peluang untuk skuad kendalian B
Sathianathan menghapuskan badi itu kembali terbuka apabila mereka bakal
berdepan Sime Darby di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam ini.Jika dilihat kepada rekod dua
tahun lalu, ATM disingkirkan oleh dua pasukan dari Liga Super iaitu Perak dan
Selangor dan kali ini undian menyaksikan mereka terpaksa melepasi halangan satu
lagi pasukan dari liga utama itu yang bakal menjanjikan pertembungan sengit.
Menurut kapten pasukan
Hairuddin Omar, biarpun moral rakan sepasukannya berada di tahap terbaik
selepas memulakan kempen Liga Super dengan langkah kanan hasil kemenangan 2-0
ke atas Sarawak Sabtu lalu namun mereka tidak boleh memperlekehkan kekuatan
Sime Darby yang cukup terkenal dengan jolokan ‘pembunuh gergasi’ dalam saingan
kalah mati.
“Sudah dua tahun ATM tersingkir
di pusingan awal jadi kami memang mahu menebus kegagalan itu untuk melangkah ke
peringkat lebih jauh kali ini. Moral pasukan ini semakin baik selepas menang
dengan Sarawak manakala Sime Darby pula kalah dengan Kelantan (2-1) pada
perlawanan Liga Super.
“Tapi saya risau juga dengan
rekod pertemuan dengan Sime Darby sebelum ini, kami ada menang dan ada kalah
kepada mereka jadi kami perlu memberikan aksi lebih baik,” katanya.
JUAN antara pemain
harapan ATM.
Bagaimanapun bagi Hairuddin
yang turut dikenali dengan panggilan Hai-O agak terkilan kerana tidak dapat
turun beraksi malam ini kerana masih belum sembuh daripada kecederaan hamstring
namun berharap hajatnya itu mampu disempurnakan oleh rakan sepasukannya.
“Saya terpaksa berehat
sekurang-kurangnya dua minggu lagi kerana kecederaan hamstring pada peha kanan
masih belum pulih. Tapi saya percaya rakan-rakan yang lain mampu melaksanakan
tugas dengan baik kerana saingan Piala FA ini antara tumpuan kami musim ini,”
katanya.
MyMETRO ONLINE 21.1.14
No comments:
Post a Comment