PERTAHANAN Brazil, Dani Alves
(tengah), dan pemain tengah, Paulinho (tiga, kanan) berbual dengan pembantu
jurulatih, Carlos Alberto Perreira pada sesi latihan skuad Brazil di
Teresopolis, Brazil semalam. - AFP
BRASILIA - Selepas Brazil
dimalukan Jerman, skuad bimbingan Luis Felipe Scolari itu wajib melakar
kemenangan ke atas Belanda bagi menamatkan saingan sekurang-kurangnya di
kedudukan ketiga, sekalipun menyedari kejayaan tersebut sudah tidak memberi
sebarang erti buat pasukan tuan rumah itu pada Piala Dunia.
Brazil dibelasah Jerman 1-7
pada aksi separuh akhir sekali gus mengakhiri impian mereka untuk merangkul
Piala Dunia buat kali keenam, dan julung kali di tanah air sendiri hingga
mengakibatkan rakyat negara itu diselubungi perasaan sedih.
Selain kekalahan di tangan
Jerman, terdapat lagi prospek yang mengerikan buat rakyat Brazil iaitu
seandainya Argentina yang merupakan seteru tradisi utama mereka memenangi
perlawanan akhir yang berlangsung di Rio de Janeiro, Isnin ini.
Oleh itu, walaupun kemenangan
tempat ketiga dianggap banyak pihak sebagai saguhati, perlawanan di stadium
nasional Brazil perlu dipandang serius oleh Scolari.
Namun, situasi berbeza buat
rakan sejawat Scolari dari Belanda, Louis van Gaal, yang menyifatkan penentuan
tempat ketiga serta keempat itu sudah tidak lagi berguna dan hanya meningkatkan
lagi tekanan kepada tuan rumah.
Dikecam hebat media tempatan
selepas perlawanan menentang Jerman, Scolari menyifatkan mala petaka separuh
akhir itu merupakan hari terburuk dalam hidupnya dengan khabar angin mengatakan
jurulatih tersebut serta kakitangannya dijangka berundur selepas kejohanan
berakhir tanpa mengira keputusan dalam perlawanan playoff itu nanti.
"Kami mempunyai perjanjian
sehingga perlawanan Ahad ini dan selepas itu mungkin kami akan mengadakan satu
perbincangan bagi menyelesaikan beberapa isu berbangkit. Saya akan meneruskan
kehidupan saya dan para pemain juga akan meneruskan impian untuk menjadi juara.
"Sejarah pasti akan
merekodkan bahawa Brazil buat kali pertama sejak 2002 berjaya sampai ke
peringkat separuh akhir," kata Scolari.
Dalam pada itu, Van Gaal turut
menerima kritikan selepas Oranje yang memulakan kempen Piala Dunia dengan
membelasah Sepanyol 5-1 gagal untuk menjaringkan gol sama ada dalam aski suku
akhir mahu pun separuh akhir setelah terikat dengan keputusan seri menentang
Costa Rica dan Argentina.
Oranje menewaskan Costa Rica
menerusi penentuan sepakan penalti, namun kalah dalam cara serupa pada
pertemuan dengan Argentina selepas penjaga gol La Albiceleste, Sergio Romero
berjaya menyelamatkan dua sepakan penalti yang diambil pemain Belanda.
Van Gaal yang akan menerajui
Manchester United selepas kejohanan itu berakhir, memberitahu sidang akhbar
bahawa penentuan tempat ketiga sepatutnya tidak dipertandingkan dan perkara itu
telah dibangkitkannya sejak 10 tahun lepas.
"Dalam satu kejohanan bola
sepak terutamanya bukan pada peringkat akhir, anda tidak sepatutnya mengadakan
perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat. Ini kerana, hanya terdapat satu
gelaran yang hendak direbut iaitu juara dunia," katanya. - REUTERS
SUMBER-ArtikelPenuhhttp://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140712/sl_01/Brazil-wajib-tewaskan-Belanda#ixzz37GA3T0RJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment