PIALA DUNIA 2014 yang sedang
berlangsung di Brazil merupakan Piala Dunia yang kedua diadakan dalam bulan
Ramadan sepanjang 20 kali penganjuran pertandingan bola sepak paling berprestij
itu.
Piala Dunia 2014 bermula 29 Jun
lalu iaitu 16 hari sebelum Ramadan. Esok, 14 Julai, merupakan kemuncak
pertandingan itu yang menyaksikan pertembungan Jerman-Argentina pada final.
Bagi pemain beragama Islam,
beraksi selama 90 minit di atas padang pada bulan puasa bukanlah mudah. Di
sebalik harapan rakyat negara masing-masing yang memerlukan mereka mengerah
segala kudrat, mereka pula dituntut untuk tidak makan dan minum sejak terbit
fajar sehingga terbenam matahari.
Lima negara yang mempunyai
majoriti pemain beragama Islam ialah Iran, Algeria, Bosnia, Jerman serta
Perancis turut membariskan bintang bola sepak Muslim.
Antaranya, Mesut Ozil dan Sami
Khedira yang bermain untuk Jerman; Karim Benzema (Perancis); dan Yaya Toure
(Ivory Coast).
Melihatkan pertembungan bulan
Ramadan dan Piala Dunia tahun ini, ada pemain yang meminta pengecualian
berpuasa, namun bagi yang cekal, mereka tetap berusaha menyempurnakan ibadah
ini.
PASUKAN Piala Dunia Algeria
mempunyai majoriti pemain beragama Islam dan mereka memilih untuk tidak
menangguhkan puasa seperti yang dilakukan pemain Islam dari negara lain.
Tidak berpuasa
Bagi pemain Jerman, Mesut Ozil,
demi kesihatan dan kecergasannya, dia mengambil keputusan untuk tidak berpuasa
sepanjang Piala Dunia kali ini.
Bagaimanapun, dalam setiap
kejohanan yang disertai, Ozil akan bermula dengan memanjatkan doa. Dia juga
rajin membaca al-Quran.
Malah, ketika Piala Dunia 2010
di Afrika Selatan, Ozil mengaku kerap membaca al-Quran setiap kali hendak turun
bertanding di padang.
Menurutnya, tindakan itu
membantunya untuk lebih fokus semasa beraksi. Begitupun, di Brazil, Ozil mahu
dikecualikan daripada berpuasa.
"Saya tidak dapat berpuasa
kerana bekerja. Saya akan menunaikannya apabila tidak ada perlawanan.
"Kalau dalam perlawanan
dan saya perlu bermain, sangat sukar untuk menunaikannya dengan sempurna
memandangkan saya harus makan dan minum bagi mengekalkan tenaga.
"Saya perlu pastikan cukup
stamina dan kecergasan," kata pemain berketurunan Turki ini ketika temu
bual laman bola sepak Goal.com.
Ujarnya, dia pernah cuba
berpuasa semasa beraksi pada satu kejohanan peringkat junior tetapi dia nyaris
pengsan di padang.
Rakan sepasukan Ozil, Sami
Khedira, turut tidak berpuasa disebabkan tuntutan kerja sama seperti Ozil.
"Seorang Muslim seharusnya
berpuasa selama 30 hari sejak matahari terbit hingga terbenam. Tetapi saya
seorang atlet yang kompetitif, saya memerlukan tenaga yang tidak mungkin saya
miliki tanpa makanan," ujar Khedira.
Pemain penyerang skuad Perancis,
Karim Benzema pula sentiasa diberi pilihan oleh pengurusan pasukannya sama ada
di kelabnya, Real Madrid atau negaranya untuk berpuasa atau tidak.
PEMAIN perlu minum banyak air
bagi menggantikan air yang hilang semasa bermain.
Jika dia berpuasa, doktor
pasukannya akan menyediakan program pemakanan khas untuk memastikan Benzema
kekal cergas dan tidak mengalami hidrasi.
Sementara itu, seorang pemain
Ivory Coast, Yaya Toure sewaktu ditemui bual akhbar Kanada, The National, tanpa
teragak-agak memberitahu, dia tidak boleh berpuasa.
"Puasa dalam keadaan cuaca
panas begini? Saya mungkin mati," katanya.
Seorang lagi yang tidak
berpuasa ialah pemain pertahanan Perancis, Bacary Sagna.
Sagna menegaskan bahawa Islam
memberi kelonggaran kepada umatnya untuk tidak berpuasa dalam keadaan tertentu.
"Saya tidak berpuasa
tetapi saya menghormati mereka yang menunaikan ibadat ini," kata pemain
yang berasal dari Senegal ini.
Walaupun terdapat beberapa
pemain yang memilih untuk tidak berpuasa pada Piala Dunia ini, sesetengah
pemain beragama Islam lain nekad untuk terus berpuasa, antaranya pemain Ivory
Coast, Kolo Toure.
Ujar Toure, lima hari pertama
Ramadan merupakan cabaran buat dirinya tetapi selepas tempoh itu, tubuh akan
mulai terbiasa dengan keadaan itu.
"Anda akan berasa lebih
aktif apabila tibanya Ramadan.
"Apa yang penting ialah
makan dengan baik serta makan makanan yang betul," jelasnya.
Bagi kapten pasukan Algeria,
Madjid Bouguerra, bulan Ramadan menjadi cabaran bagi pemain Muslim di
kelab-kelab bola sepak Eropah.
Dia sendiri pernah mengalaminya
ketika bermain untuk Glasgow Rangers di Scotland, di mana dia berpuasa, tetapi
masih mampu mengekalkan prestasi di atas padang.
ORANG ramai berbuka puasa di
sebuah kawasan lapang berhampiran Masjid Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam.
Umat Islam di seluruh dunia melalui Ramadan dengan cara yang berbeza termasuk
pemain bola sepak.
"Hal yang paling sukar
ialah dehidrasi, tapi itu tidak memberikan masalah kerana cuaca agak baik di
sini. Beberapa pemain akan menggantikan puasa mereka kemudian," ujarnya.
Ketua Persatuan Ulama Algeria,
Mohammed Mekerkab, berpendapat puasa merupakan hal yang penting dan wajib
dilaksanakan walaupun terpaksa beraksi untuk Piala Dunia.
"Pemain Algeria tidak
boleh menangguhkan puasa mereka hanya kerana perlawanan bola sepak, mereka
harus berpuasa kerana Allah," katanya.
Carlos Alberto Parreira dari
Brazil yang menjadi jurulatih pasukan Kuwait pada tahun 1982, pernah berkata,
pemain tidak dipaksa berpuasa namun mereka tetap tidak mahu makan.
"Mereka dibenarkan tidak
berpuasa ketika perlawanan tetapi pemain mengambil keputusan untuk berpuasa.
Dehidrasi
"Ia bukan prosedur biasa
perlawanan namun kita perlu menerimanya sebagai sebahagian tanggungjawab yang
perlu mereka lakukan. Jangan sesekali menidakkan hal itu," katanya.
Jurulatih Iran, Carlos Queiroz
berkata, prospek bermain dalam intensiti tinggi ketika Ramadan bukan perkara
baharu bagi pemainnya.
Baik dia mahupun pasukan
teknikal berazam melengkapkan setiap cabaran.
"Pemain Iran mempunyai
cukup pengalaman memenuhi tuntutan agama. Ketika pusingan kelayakan Piala Dunia
dahulu pun, kami sudah berhadapan dengan pelbagai isu perbezaan budaya,"
katanya.
Sementara itu, pakar perubatan
sukan, Dr. Hakim Chalabi memberitahu, sememangnya terdapat risiko pemain
mengalami dehidrasi serta cedera terutamanya di bahagian belakang, sendi dan
otot semasa beraksi di atas padang.
Namun, berdasarkan
pengalamannya, pemain tetap menunjukkan prestasi yang baik walaupun mereka
berpuasa.
"Kecederaan selalunya
disebabkan oleh dehidrasi dan bukannya kerana kurang makan. Pemain boleh
kehilangan sehingga 6 liter air ketika perlawanan.
"Kami sering diminta
memujuk pemain supaya tidak berpuasa, tetapi dalam beberapa kes, ada pemain
yang memberikan hasil yang lebih baik semasa Ramadan kerana puasa itu memberi
kesan ke atas spiritual dan psikologi mereka," ujar Chalabi yang merupakan
bekas ketua perubatan di kelab bola sepak gergasi Perancis, Paris St Germain.
"Kami juga menasihati
mereka supaya tidur waktu siang memandangkan waktu tidur yang berkurangan pada
waktu malam.
"Umat Islam kurang tidur
pada waktu malam kerana mereka perlu bersahur dan melakukan solat
tertentu," tambahnya.
Pengarah Perubatan Kelab Al
Jazira di Abu Dhabi, Nick Worth, yang berpengalaman membantu pemain bola sepak
Muslim menjalani ibadah puasa berkongsi rahsia dengan laman web Goal.Com.
"Pemain dinasihatkan
menyediakan perancangan sebelum Ramadan. Seelok-eloknya mereka berbincang
dengan tokoh agama sebelum membuat keputusan.
"Adakah anda mengharapkan
pemain yang perlu menahan lapar dan dahaga selama separuh hari itu untuk
menunjukkan mutu persembahan yang baik?
"Jika ya, mungkin anda
patut mempertimbangkan untuk tidak menurunkan mereka dari awal permainan atau
mencari jalan memanfaatkan bakat mereka di tempat sewajarnya," katanya.
Menurut kajian perubatan yang
diterbitkan hospital ortopedik dan perubatan sukan Qatar, Aspetar, pemain yang
berpuasa memerlukan jurulatih kecergasan khas bagi memantau isu kesihatan. Ini
termasuk masalah dehidrasi serta peningkatan risiko kekurangan tenaga.
Sumber-http://www.kosmo.com.my/kosmo/13.7.14
No comments:
Post a Comment