Ad

Saturday, 5 December 2015

Mahu kembalikan kegemilangan TRW

Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI

ANNUAR (tengah) berjabat tangan dengan Devan pada majlis menandatangani kontrak jurulatih dan pemain termasuk Faizal (kiri), Muslim (dua dari kanan) dan Abdul Manaf di Shah Alam semalam.

GERGASI Pantai Timur, Kelantan tidak menunggu lama untuk mengorak langkah apabila mengumumkan barisan pemain dan jurulatih baharu selepas mengharung pelbagai cabaran pada dua musim lepas yang dianggap mendukacitakan apabila gagal memenangi sebarang trofi.

Juara Piala Malaysia 2010 itu mengambil tindakan drastik apabila menandatangani bekas jurulatih Selangor, K. Devan dengan hasrat untuk mengembalikan era gemilang skuad The Red Warriors (TRW) pada musim 2009-2013.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mengakui jawatan kosong yang ditinggalkan oleh Azraai Khor Abdullah itu diidamkan oleh ramai jurulatih.

“Walaupun Kelantan mengharungi musim yang mengecewakan, tetapi saya terkejut kerana ramai pihak yang menghubungi saya termasuk bekas jurulatih Kelantan untuk kembali mengendali skuad ini untuk saingan musim depan. Namun, saya telah membuat keputusan untuk mendapatkan khidmat Devan," katanya pada sidang akhbar di Shah Alam semalam.

TRW sinonim dengan jurulatih terkemuka setelah berjaya mendapatkan khidmat beberapa pengendali berprofil tinggi sebelum ini seperti Azraai, Datuk M. Karathu, B. Sathianathan dan jurulatih import seperti George Boateng, Steve Darby, Bojan Hodak serta Peter Butler.

“Saya memilih Devan kerana dia ingin membuktikan sesuatu pada bola sepak Malaysia kerana dia dahagakan kejayaan dan saya tidak mahu orang yang gemar membuat kerja sambil lewa.

“Dia (Devan) mungkin kurang bernasib baik dengan beberapa persatuan yang dikendalikan pada musim-musim yang lepas. Saya berharap dia dapat kembalikan zaman kegemilangan Kelantan kerana dia jurulatih yang mempunyai rekod dan pencapaian memenangi piala sebelum ini," ujar Annuar.

Pada majlis tersebut, Annuar turut mengumumkan tiga pemain baharu yang ditawarkan kontrak untuk beraksi dengan pasukan dari Pantai Timur itu. Mereka ialah bekas penyerang Terengganu, Abdul Manaf Mamat, bekas pemain Kedah, Faizal Abu Bakar dan bekas pertahanan PDRM, Muslim Ahmad.

SMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1206&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz3tUbHWUwl Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment