AQMAR MUSTAZA
6 DISEMBER 2015
Program tribute Pak Yus
dikritik Antara pengisian dalam program Juara Parodi Pak Yus Dalam Kenangan
ISNIN lalu, industri hiburan
dikejutkan dengan berita pemergian pelawak Yus Jambu atau lebih dikenali dengan
panggilan Pak Yus ke Rahmatullah akibat serangan jantung.
Lebih dirasai, rata-rata
peminat dan rakan baik yang baru sahaja berjumpa dan melihat aksinya dalam
rancangan Juara Parodi, di mana Pak Yus atau nama sebenarnya, Yussry Edoo
merupakan ahli kumpulan Kobis Pedas yang turut dianggotai oleh rakan karibnya,
Tauke Jambu dan Misha Omar.
Tidak sanggup untuk meneruskan
perjuangan pada minggu kelima Juara Parodi, pihak penerbit, Vision Works
bersama Astro Warna bersepakat untuk menangguhkan program pada minggu kelima.
Ia kemudiannya digantikan
dengan Juara Parodi Pak Yus Dalam Kenangan yang menghimpunkan kesemua 10
kumpulan dalam program Juara Parodi serta rakan-rakan artis yang lain, di mana
mereka menyampaikan persembahan khas buat Allahyarham Pak Yus.
Menerusi program yang disiarkan
secara langsung di Saluran 132 Astro Warna, Jumaat lalu, rata-rata hadirin dan
teman seperjuangan tidak dapat menahan juraian air mata kerana terkesan dengan
pemergian seorang penghibur yang jujur dan rakan baik yang setia.
Bahkan komen menerusi laman
sosial turut berkongsi kesedihan sama yang dirasai penonton di Theater Shah
Alam.
Namun di sebalik kesedihan itu,
ada beberapa pihak yang seolah-olah tidak bersetuju dengan program Juara Parodi
Pak Yus Dalam Kenangan dan menyifatkan ia sebagai keterlaluan.
Tidak melatah dengan kritikan
sesetengah pihak terhadap program berkenaan, penerbit Juara Parodi, Afdlin
Shauki berkata, sesebuah program yang tidak pernah dilakukan bukan bermakna
tidak boleh diwujudkan.
Katanya, tujuan utama program
itu diadakan adalah untuk menghargai Allahyarham Pak Yus dan dalam masa sama
mengingatkan penonton tentang kematian.
“Saya terima beberapa mesej
menerusi aplikasi WhatsApp termasuk daripada ustaz yang memuji pengisian
program tersebut yang membawa penonton mengingati kematian.
“Saya tahu hidup mesti
diteruskan dan kita buat program itu bukan untuk meratap, tetapi berkongsi
kebaikan arwah yang pada hayatnya tidak diketahui ramai.
“Mereka tidak meratap pada
malam itu, sebaliknya air mata yang keluar adalah ikhlas dari hati kerana
terkesan dengan kehilangan Pak Yus,” ujarnya kepada Zass.
Afdlin berkata, orang ramai
juga perlu berfikir positif bahawa pelawak juga manusia yang mempunyai hati dan
perasaan.
“Beberapa hari selepas arwah
meninggal, ada yang bertemu dengan kami (pelawak) dan meminta untuk selfie
serta suruh kami senyum. Tapi kami minta maaf kerana tak dapat beri senyuman
seikhlas hati.
“Begitu juga dengan malam tadi
(Jumaat), kami tak mampu tersenyum kerana apa yang kami sampaikan itulah yang
kami rasai.
“Malah, saya cuba menampilkan
sebuah program secara sederhana. Sebab itu saya mulakan dengan tazkirah dan
diikuti sesi luahan. Ada yang memilih untuk menyampaikan menerusi sajak dan
nada juga lagu.
“Tapi lagu itu bukan lagu yang
mendayu, tapi ada mesej yang tersendiri,” ujarnya.
Tambah Afdlin, sekiranya Juara
Parodi diteruskan juga pada Jumaat lalu, pihak penerbit tetap menerima kecaman
ramai.
Oleh itu, Afdlin berkata, apa
yang menjadi kepentingannya adalah peminat Pak Yus yang terkesan dengan
pemergiannya.
“Kalau orang nak kutuk ke apa,
terpulanglah. Apa yang saya peduli adalah peminat yang terkesan dengan
pemergian arwah. Kalau saya teruskan Juara Parodi, tak mustahil kami mendapat
kecaman juga,” jelasnya.
Konsep tuju lagu
Sementara itu, Pengurus Saluran
Astro Warna, Emarina Kamal berkata, pihak Astro bersetuju mengadakan program
tersebut kerana sedar dengan semangat peserta lain yang masih belum pulih
sepenuhnya.
Katanya, idea program tersebut
berdasarkan tagline ‘boleh tuju lagu’ yang selalu diucap oleh Pak Yus ketika
menyertai program Maharaja Lawak Mega.
“Pihak Astro memang sudah
berkesan supaya semua yang terlibat tidak meratapi pemergian arwah. Tapi apa
yang terjadi (tangisan) bukan boleh ditahan dan ia adalah semula jadi.
“Sejujurnya pihak Astro juga
turut terasa dengan pemergian arwah dan kerana itu kita merasakan tidak wajar
untuk meneruskan pertandingan.
“Pada saya program Mengenang
Pak Yus adalah salah satu cara untuk menaikkan semula semangat peserta yang
terlibat dalam Juara Parodi,” ujarnya.
Tambah Ema, selain program ini,
pihak Astro Warna juga sudah mengadakan bacaan surah Yasin dan tahlil untuk
Allahyarham Pak Yus yang diadakan pada Khamis lepas.
“Kita bukan buat program
seperti ini semata-mata, tapi ada juga bacaan Yasin dan tahlil yang dibuat
secara tertutup Khamis lalu,” katanya.
Ema berkata, selain Juara
Parodi yang masih berjalan, Pak Yus juga akan muncul menerusi program Sembang
Pacak, di mana penggambaran program berkenaan sudah dilakukan beberapa minggu
lalu.
Selain itu, Pak Yus juga
sepatutnya terlibat dalam program Maharaja Lawak Mega tidak lama lagi, namun
semua itu tidak kesampaian.
Menerusi Juara Parodi Pak Yus
Dalam Kenangan Jumaat lalu, rata-rata teman baik mendedahkan sikap Allahyarham
yang suka memberikan hadiah dan gemar mencium pipi tanpa disedari.
Bahkan, kesemua mereka mengakui
terkesan dengan pemergian seorang rakan yang cukup baik dan jujur dalam persahabatan.
Sumber-SINAR HARIAN ONLINE
6.12.2015
No comments:
Post a Comment