Alor Setar: Penyokong pasukan Kedah mengambil kesempatan membeli jersi pasukan kesayangan mereka apabila mengunjungi beberapa gerai jualan di pekarangan Stadium Darul Aman untuk dibawa ke Shah Alam, Sabtu ini.
Penyokong setia Helang Merah Isham Rafizan Ismail, 38, berkata, beliau bersama anaknya Iqmal Harith Zafran, 7, sanggup datang awal ke stadium untuk membeli jersi baru sebagai persiapan menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia nanti.
Menurutnya, rakannya yang tinggal di Kuala Lumpur turut meminta supaya dibelikan jersi Helang Merah untuk dipakai pada perlawanan itu nanti.
“Anak saya juga teruja untuk menyaksikan perlawanan akhir itu. Kami pasti Kedah akan memberi saingan sengit kepada Selangor walaupun akan bermain di tempat lawan.
“Saya yakin Kedah mampu memenangi perlawanan itu dan menjulang Piala Malaysia yang kali terakhir dimenangi pada 2008 itu,” katanya ketika ditemui di Stadium Darul Aman.
Seorang lagi peminat Afiq Rahman, 30, berkata, beliau yakin pasukan kesayangannya mampu memenangi Piala Malaysia berdasarkan prestasi serta kecemerlangan yang dipamerkan sepanjang musim ini.
“Sikap tidak mudah mengalah pemain Kedah pasti akan membuahkan kejayaan tambahan pula mereka bermain dengan cemerlang pada perlawanan separuh akhir.
“Saya berharap pasukan Kedah akan menang di Stadium Shah Alam dan bergelar juara Piala Malaysia,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2015 @ 9:37 AM
RAGAM peminat membeli jersi Helang Merah.
- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/98650#sthash.kL2ctnt7.dpuf
No comments:
Post a Comment