Ad

Monday, 2 December 2013

Farhan tidak selamat


Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
SHAH ALAM - Pada ketika ramai yang menjangkakan hanya kes Nazri Ahmad bakal dibicarakan oleh Jawatankuasa Status Pemain Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 12 Disember ini, bintang penyerang, Mohd. Norfarhan Muhammad juga sebenarnya belum selamat.
Sebelum ini, hanya nama Nazri menjadi tumpuan gara-gara tindakan pemain pertahanan itu memilih untuk bersama juara Piala FA, Kelantan biarpun didakwa sudah menandatangani kontrak dengan Selangor.
Norfarhan, yang masih segar dengan kejayaan muncul Penyerang Terbaik Kebangsaan bagaimanapun akan turut dibicarakan dalam mesyuarat minggu depan selepas dikatakan telah bersetuju untuk mewakili Johor Darul Takzim (Johor DT ) pada musim 2014, tetapi membuat ‘pusingan U’ dengan kembali bersama negeri kelahirannya, Terengganu.
Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin, mereka baharu sahaja menerima kes Norfarhan semalam, dan situasinya hampir sama dengan Nazri, di mana kedua-dua mereka boleh digantung semusim beserta denda.
“Saya rasa semua sudah jelas tentang undang-undang dan kita sentiasa maklumkan perkata itu dari awal dengan memberi taklimat kepada setiap pasukan.
“Namun, kes ini sudah menjadi satu fenomena baharu walaupun 10 hingga 15 tahun lalu ia pernah berlaku," katanya pada sidang media selepas Taklimat Liga Malaysia Musim 2014 semalam.
Jelasnya, Jawatankuasa Status Pemain akan membuat keputusan mengenai nasib kedua-dua pemain tersebut berdasarkan kontrak dan segala salinan sebagai bukti.
“Saya rasa perkara ini sangat asas tidak perlu belajar di sekolah, apabila sudah menandatangani kontrak kita perlu terus memberi komitmen kepada pasukan yang diwakili.
“Apa pun, Jawatankuasa Status Pemain dan Sekretariat FAM akan melihat semula perkara ini dan belajar bagaimana untuk menanganinya pada masa akan datang.
“Tempat paling sesuai menangani perkara ini adalah Jawatankuasa Status Pemain tetapi saya mewakili sekretariat berharap agar ia dapat diselesaikan di luar dengan kedua-dua pasukan berbincang sesama sendiri, jika tidak boleh jadi kita tunggu pada 12 Disember ini," katanya.
Ditanya adakah Liga M sudah boleh menggunakan khidmat ejen bagi setiap pemain, Hamidin berkata, perkara itu perlu dilihat semula adakah ejen boleh mainkan peranan bagi memperbaiki keadaan.
Dalam pada itu, kebanyakan pasukan Liga M meminta agar FAM melanjutkan tarikh tutup pendaftaran pemain import pada 4 Disember ini kepada 17 Disember sama seperti pendaftaran pemain tempatan.
Menurut Jawatankuasa Pertandingan Tempatan, Datuk Seri Afandi Hamzah, pihaknya akan berbincang dan memaklumkan dalam tempoh terdekat tentang permohonan tersebut dan pada masa yang sama juga, mereka perlu merujuk kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).



© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment