Ad

Monday, 2 December 2013

Tiada dendam, Rajagobal sedia kembali

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
 
K. Rajagobal
PETALING JAYA - Datuk K. Rajagobal sedia untuk kembali bernaung di bawah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada masa hadapan, sekalipun badan induk itu sudah memutuskan untuk tidak menyambung khidmatnya sebagai ketua jurulatih negara selepas 31 Disember ini.

"Mestilah, ini negara saya. Saya akan datang jika mereka buka (peluang) dan ketika itu saya pula ada masa terluang, maka saya akan pertimbangkan dan pastinya tidak akan kata, tidak.

"Mengapa tidak?, jurulatih datang dan pergi, mana-mana tempat pun sama. Tiada apa-apa (kemungkinan merajuk atau berdendam dengan FAM). Saya sebagai profesional (menerima keputusan mereka)," tegasnya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam,

Sejujurnya Rajagobal mengakui, belum ada mana-mana pihak (pasukan Liga Malaysia atau luar negara) yang merisik khidmatnya setakat ini, namun meramalkan keadaan mungkin bertukar selepas pengumumannya pada sidang akhbar semalam.

"Saya kini bercuti panjang. Mahu berada dengan keluarga, terutama isteri yang amat menyokong. Dia yang banyak menguruskan hal keluarga saya sebab saya hanya fikirkan bola sepak, bola sepak.

"Kini saya hanya mahu (luangkan) masa berkualiti dengan keluarga. Saya tidak mahu tergesa-gesa, perkara itu (melatih pasukan lain). Saya sentiasa ada dan kita lihat bagaimana keadaannya kemudian. Saya mahu berehat sekarang," katanya lagi.

Rajagobal mengendalikan skuad kebangsaan sejak April 2009 selepas pernah menjadi jurulatih sementara pada 2004. Kejayaan terbaiknya ialah Piala Suzuki AFF 2010.

Ditanya mengenai Datuk Ong Kim Swee, yang bertindak sebagai jurulatih sementara, Rajagobal enggan mengulas kerana itu keputusan FAM.

"Itu keputusan FAM, saya hanya boleh katakan, siapa sahaja (tempatan atau luar negara) yang ambil alih, perlu menetapkan tanda aras yang lebih tinggi daripada saya (layak ke Piala Asia).

"Saya mengucapkan selamat berjaya kepada bakal jurulatih negara, semoga dia mendapat sokongan penuh FAM. Selamat berjaya juga kepada Datuk Kim Swee selepas FAM melantiknya jurulatih sementara.

"Saya masih percayakan pasukan ini, terserah kepadanya apabila membawa pasukan ini. Kita masih ada peluang tipis untuk layak (dengan menentang Yemen, 5 Mac depan). Dia akan memilih pemain yang difikirkan terbaik.

"Jika pasukan ini berjaya (sebagai pasukan tempat ketiga terbaik seluruh Kelayakan Piala Asia), saya akan turut berbangga dan berasa kita cukup bertuah. Saya tidak akan kecewa malah saya akan beli tiket untuk menonton aksi mereka di Australia (pusingan akhir)," ujarnya.

Kepada pemain pula, Rajagobal turut berpesan: "Saya percaya masih ada peluang tipis biarpun ramai yang berkata, tiada harapan. Siapa sahaja jurulatih anda, jangan lari daripada fokus dan fikirlah secara positif.

"Jika lihat keputusan (pusingan akhir Piala Asia 1976 dan 1980), saya fikir inilah keputusan terbaik apabila kita dapat empat mata (tempat ketiga Kumpulan D). Fikir secara besar dan semua orang akan hormati anda.

"Saya tidak tahu mengapa orang mahu menafikan kami. Peluang masih ada jika Lebanon tidak menang dengan Jordan dan China tewaskan Iraq, manakala Malaysia kalahkan Yemen."


RUJUKAN: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20131203/su_02/Tiada-dendam-Rajagobal-sedia-kembali#ixzz2mMxr0aMW © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment