Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my
VIVIAN (kiri) dan Khe Wei
menyumbang pingat emas buat skuad badminton negara pada Sukan SEA 2013 di
Myanmar.
SKRIP hampir sama berulang lagi
tahun ini apabila tumpuan peminat sukan badminton sekali lagi terarah kepada
jaguh negara yang juga pemain No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei.
Suka duka yang ditempuhi Chong
Wei bukan sahaja menjadi tarikan peminat tempatan, malah dia turut menjadi
perhatian seluruh dunia terutama pada Kejohanan Badminton Dunia di Guangzhou,
China Ogos lalu.
Jika Chong Wei sebelum ini
tewas kepada bintang China, Lin Dan pada aksi final Sukan Olimpik 2012 di
London, nasib yang sama dialami pemain berusia 31 tahun itu ketika dia memburu
kejuaraan pada Kejohanan Dunia tahun ini.
Malangnya, kekalahan Chong Wei
kepada Lin Dan itu dicemari dengan kontroversi ekoran masalah penghawa dingin
yang dikatakan sengaja ditutup oleh pihak penganjur.
Kesudahannya Chong Wei sekali
lagi kempunan untuk menjadi juara dunia apabila dia terpaksa menarik diri
selepas mengalami kekejangan otot di kaki dan perut pada penghujung set ketiga.
Biarpun seperti sengaja
disabotaj oleh tuan rumah, Chong Wei tetap akur dengan kegagalan tersebut tanpa
mahu menuding jari ke arah mana-mana pihak.
Menyorot kembali pencapaian
Chong Wei sepanjang tahun itu, dia meraih tujuh gelaran Siri Super termasuk
Masters Akhir di Kuala Lumpur dua minggu lalu.
Walaupun ada yang mengkritik
Chong Wei atas beberapa kekalahannya yang dikaitkan dengan faktor usia, namun
jaguh negara itu membuktikan dia masih berada dalam kelas tersendiri.
Selain Chong Wei, kisah beregu
utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong turut menjadi topik hangat di
dada-dada akhbar tempatan.
Biarpun digesa menampilkan aksi
terpuji pada Kejohanan Dunia tahun ini atau dipisahkan jika gagal, namun mereka
masih diberikan 'talian hayat' untuk digandingkan bersama.
Ternyata khidmat juara Seluruh
England 2007 itu masih diperlukan lagi untuk mengukuhkan pasukan negara pada
kempen Piala Thomas di New Delhi, India, Mei depan.
Bagaimanapun, beregu lelaki
seperti mendapat sinar baharu apabila Hoon Thien How-Tan Wee Kiong dilihat
semakin konsisten sejak akhir-akhir ini terutama ketika mereka meraih gelaran
sulung pada Grand Prix (GP) Emas Terbuka Macau, 1 Disember lalu.
Beregu wanita turut
memperlihatkan peningkatan yang baik apabila pasangan utama, Vivian Hoo-Woon
Khe Wei membuat kejutan meraih pingat emas pada Sukan SEA di Myanmar baru-baru
ini.
Berbeza pula dalam skuad beregu
campuran kerana harapan yang diletakkan terhadap gandingan No. 6 dunia, Chan
Peng Soon-Goh Liu Ying nampak tidak menjadi tahun ini.
Juara Terbuka Jepun 2012 bukan
sahaja tidak konsisten, malah mereka tidak ubah seperti pasangan baharu yang
masih mencari rentak.
Tahun ini turut menyaksikan
perubahan tampuk kepimpinan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila Datuk
Seri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh enggan mempertahankan jawatan Presiden ketika
Mesyuarat Agung Tahunan pada Julai lalu.
Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku
Ariff dipilih sebulat suara untuk menerajui BAM dan beliau membuat pembaharuan
apabila membawa masuk Tan Aik Mong dan pakar beregu, Razif Sidek sebagai
penilai bebas.
Ketika itu juga berlaku
kepincangan apabila jurulatih perseorangan, Rashid Sidek meletak jawatan pada
September lalu kerana tidak berpuas hati dengan rombakan struktur
kejurulatihan.
Rashid menarik semula surat
peletakan jawatannya selepas Tengku Mahaleel mengubah kembali struktur
kejurulatihan yang dilakukan Aik Mong.
Begitupun, Aik Mong yang turut
dilantik sebagai Pengarah Kumpulan Pengurusan Bakat (TMG) pula mengundur diri
kerana berasakan dirinya sudah tidak diperlukan.
Kini barisan pemain dan
bahagian pengurusan BAM harus bekerjasama mencari formula terbaik dan membentuk
'pasukan impian' kerana mereka bakal berdepan jadual yang lebih padat tahun
depan.
Saingan musim 2014 dijangka
lebih mencabar kerana mereka akan menghadapi empat kejohanan besar - Sukan
Asia, Sukan Komanwel, Kejohanan Dunia dan Piala Thomas.
KOSMO ONLINE 25.12.13
No comments:
Post a Comment