Ad

Tuesday, 24 December 2013

Tutup tirai 2013 penuh bergaya

MEMBANGGAKAN... Skuad junior negara harus diberi pujian berdasarkan pencapaian mereka pada kempen Piala Dunia Remaja di India baru-baru ini.

SKUAD hoki lelaki negara, baik di peringkat senior mahupun remaja dianggap tampil cemerlang sepanjang kempen tahun ini.

Kejayaan terbesar pastinya terarah kepada pencapaian skuad senior yang akan membuat kemunculan pada kempen Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda.

Menyingkap kembali pencapaian yang dilakar skuad senior negara, skuad kendalian Paul Revington itu muncul naib juara Piala Sultan Azlan Shah setelah tewas 1-3 kepada Australia di pentas final pada Mac lalu.

Tiga bulan kemudian, Malaysia menjadi tuan rumah kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia yang menyaksikan juara pusingan itu bakal mendapat slot automatik ke pusingan akhir Piala Dunia tahun depan.

Begitupun, skuad senior negara sekadar menduduki tangga kelima, lantas menyebabkan mereka terpaksa menunggu giliran untuk 'terbang' ke Belanda tahun depan.

Secara matematik, Malaysia telah layak ke Belanda selepas diletakkan sebagai pasukan ketiga dalam senarai 'menunggu' di belakang Korea Selatan dan Sepanyol.

Namun, anak-anak buah Revington tidak mahu mengharapkan slot 'ihsan' daripada benua lain dan menjadikan kempen Piala Asia sebagai medan terbaik memburu tiket Piala Dunia 2014.

Dalam keghairahan memburu slot itu, sukan hoki tanah air telah dikejutkan dengan kematian tonggak utama, Chua Boon Huat, 33, yang terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya awal Ogos lalu.

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) mengambil keputusan untuk 'merehatkan' jersi No. 3 milik Boon Huat pada kempen Piala Asia sebagai tanda memperingati sumbangan mendiang terhadap sukan hoki negara.

Tidak lama kemudian, kem negara mendapat khabar gembira setelah secara rasminya disahkan layak beraksi pada Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda, sekali gus menamatkan penantian selama 12 tahun.

Jelas berita itu cukup menggembirakan seluruh peminat hoki tanah air selepas mereka dikejutkan dengan kontroversi peletakan jawatan Revington yang dikatakan kecewa dengan campur tangan beberapa pihak serta isu dalaman MHC.

Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Afrika Selatan itu telah memutuskan untuk menarik balik keputusannya itu selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Bekas jurulatih Ireland itu kembali meneruskan sentuhan cemerlang dengan membantu skuad senior negara meraih pingat gangsa pada Trofi Juara-Juara Asia 2013 di Kakamigahara, Jepun, November lalu.

Sementara itu, pencapaian 'adik' kepada skuad senior tahun ini juga tidak kurang hebatnya dengan kejayaan mereka muncul sebagai naib juara Piala Sultan Johor 2013.

Lebih menarik, skuad kendalian Muhammad Dhaarma Raj Abdullah itu turut melakar kejutan muncul sebagai empat pasukan terbaik pada saingan Piala Dunia Remaja 2013, India dua minggu lalu.

Biarpun gagal memahat sejarah baharu, skuad Projek 2013 itu berhak menerima pujian kerana berjaya menyamai pencapaian pada edisi 1979 dan 1982.

Penutup kalendar sukan hoki Malaysia tahun ini berakhir dengan penuh gemilang apabila skuad lelaki dan wanita merangkul pingat emas Sukan SEA di Yangon, Myanmar minggu lalu.

Skuad hoki lelaki yang menggabungkan beberapa pemain senior dan junior itu menepati ramalan MHC apabila tidak berdepan sebarang masalah menundukkan Singapura 5-0 di pentas final.

Skuad wanita pula tidak hanya menepati sasaran yang ditetapkan MHC, malah turut mencipta rekod dunia - jaringan terbanyak dalam satu perlawanan selepas membelasah Kemboja 36-0.

Sebelum bersaing di Myanmar, skuad kendalian Muhammad Nasihin Nublin Ibrahim itu mencipta kejutan apabila menduduki tempat ketiga Trofi Juara-Juara Asia di Kakamigahara, Jepun.

Dengan berakhirnya musim 2013, ranjau yang lebih besar menanti skuad hoki negara tahun depan.

Selain kempen Piala Dunia 2014, skuad hoki negara turut akan bersaing pada Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland dan Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan.

KOSMO ONLINE 25.12.13

No comments:

Post a Comment