Ad

Thursday, 10 July 2014

Buru tiket final

Oleh Aziman Rosdi

Kelana Jaya: Selepas gagal mempertahankan kejuaraan Piala AFF dua tahun lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mempertaruhkan sentuhan magis Dollah Salleh untuk membawa skuad Harimau Malaya sekurang-kurangnya layak ke final kejohanan itu hujung tahun ini.

Sasaran itu tampak sukar buat Dollah yang baru dilantik selaku ketua jurulatih kebangsaan minggu lalu memandangkan bekas pengendali Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu hanya mempunyai masa kurang lima bulan untuk membuat persiapan pada kejohanan yang dianjur bersama Singapura dan Vietnam.

 “Dengan masa yang singkat, sasaran yang ditetapkan agak sukar tapi apapun saya akan cuba yang terbaik,” kata pengendali itu pada sidang media semalam.Memandangkan reputasi hebat Dollah, 50, di peringkat domestik dengan tiga gelaran Piala Malaysia bersama MPPJ, Selangor dan Pahang, harapan cukup tinggi disandarkan kepadanya untuk mengulangi kejayaan 2010 apabila Malaysia merangkul kejuaraan Piala AFF di bawah kendalian Datuk K Rajagobal.Sebagai persiapan awal, Dollah yang menandatangani kontrak dua setengah tahun akan mengumpul pemain dalam kem pertama pada 5 Ogos ini sebelum turun beraksi dalam perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Tajikistan empat hari selepas itu.Bekas penyerang kebangsaan itu menyatakan, beliau mungkin mengekalkan 70 peratus pemain lama manakala muka baru akan dipilih berdasarkan prestasi dalam kempen Piala Malaysia bermula bulan depan.
Foto
PEMAIN Harimau Malaya menjulang trofi Piala AFF 2010 di bawah kendalian Rajagobal.

“Saya akan memantau prestasi pemain, tapi saya mungkin mengekalkan 60 hingga 70 peratus pemain lama dan selebihnya kami akan menilai pemain yang menonjol dalam saingan Piala Malaysia. Menentang Tajikistan saya hanya mempunyai masa empat hari selepas hari raya untuk menyiapkan pasukan.


“Kerana masa yang singkat ini, saya akan gunakan pemain sedia ada tapi bagi perlawanan seterusnya kami mempunyai masa untuk mencari pemain lain,” katanya yang akan mengumumkan barisan staf kejurulatihan skuad kebangsaan Isnin ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan mereka tidak membayar sebarang pampasan kepada PDRM bagi menebus baki kontrak Dollah hingga November ini.


“Tidak ada pampasan kepada PDRM dan perbincangan dengan PDRM sudah selesai. Sebagai syarat Dollah akan membantu PDRM hingga mereka mendapat pengganti. Saya percaya sebelum Piala Malaysia bermula PDRM akan memperoleh pengganti beliau,” katanya.


Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/10

No comments:

Post a Comment