Ad

Friday, 11 July 2014

Romero penghalang Belanda


 


SERGIO Romero
SAO PAULO - Penjaga gol Sergio Romero muncul wira setelah menampan dua sepakan penalti ketika Argentina menundukkan Belanda untuk mara ke perlawanan akhir Piala Dunia buat kali pertama selama tempoh 24 tahun semalam.

Perlawanan itu bakal mengulangi sejarah Piala Dunia 1986 dan 1990 apabila Argentina akan bertemu Jerman dalam perlawanan akhir (Isnin waktu Malaysia). Pertemuan pertama memihak kepada Argentina dan selang empat tahun kemudian trofi menjadi milik Jerman Barat.

Kemenangan Argentina itu menambah kekecewaan tuan rumah Brazil yang dimalukan oleh kekalahan 7-1 kepada Jerman kelmarin sebelum menyaksikan kebimbangan mereka menjadi kenyataan apabila jiran mereka di Amerika Selatan dan seteru utama itu menempah tempat untuk perlawanan akhir di Maracana.

Romero yang beraksi untuk kelab Perancis, Monaco menepis tendangan daripada Ron Vlaar dan Wesley Sneijder untuk membantu pasukannya menang 4-2 setelah perlawanan separuh akhir itu berakhir dengan keputusan 0-0 setelah tamat masa tambahan.

Pemain tengah Argentina, Maxi Rodriguez pula menjaringkan gol yang mengesahkan Argentina ke perlawanan akhir dan disambut begitu gembira oleh Lionel Messi dan rakan-rakannya.

"Saya berasa bangga kerana menjadi sebahagian daripada pasukan ini. Mereka adalah fenomena, permainan yang menarik.

"Sukar untuk dipercayai kerana kami ke final. Kami sudah meletakkan sebelah kaki untuk memenangi Piala Dunia," kata Messi di laman sosial miliknya.
 
PEMAIN Argentina bersorak selepas pasukan mereka berjaya menewaskan Belanda 4-2 menerusi sepakan penalti di dalam perlawanan separuh akhir Piala Dunia di Sao Paulo. - AFP
Brazil mungkin negara paling banyak memenangi Piala Dunia, tetapi yang mereka ingini kali ini kerana dianjurkan di negara mereka sebaliknya mempertemukan dua musuh terkuat mereka.

Bagi rakyat Brazil, perlawanan itu adalah satu kekecewaan buat mereka tetapi buat peminat bola sepak, pertembungan antara pasukan Jerman yang memukau di kejohanan ini dan Messi, Pemain Terbaik Dunia empat kali yang telah memenangi semua anugerah kecuali Piala Dunia.

"Saya gembira kerana kami layak ke final dan sekarang kami akan lakukan mengikut kemampuan kami. Sudah pasti kami akan memberikan yang terbaik seperti perlawanan sebelum ini, berusaha 100 peratus terhadap kerja kami," kata jurulatih Argentina, Alejandro Sabella.

Bagi peminat dan pemain, mereka berhadapan dengan situasi tegang terutama pasukan Belanda yang sudah tiga kali gagal dalam perlawanan akhir.

Keputusan semalam merupakan kekalahan kedua Belanda di separuh akhir setelah kalah kepada Brazil pada Piala Dunia 1998."Saya tidak terfikir pun bahawa kami akan kalah ketika perlawanan memasuki babak kedua," kata jurulatih Belanda, Louis Van Gaal.

"Sekiranya keputusan perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti anda tahu bahawa itu merupakan satu perjudian. Mereka sudah melakukan yang terbaik dan tiada sesiapa pun menjangkakan ini kesudahannya," tambahnya.Belanda akan bertemu Brazil untuk merebut tempat ketiga di Brasilia (Ahad ini waktu Malaysia). - REUTERS
SUMBER-

Artikel Penuh:http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140711/sl_01/Romero-penghalang-Belanda#ixzz379pdBT9Y © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment