Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Datu Sudarsono Osman (kiri)
berjabat tangan dengan Dollah Salleh semasa sidang akhbar pengumuman jurulatih
baharu skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya , semalam. - UTUSAN/AZLAN
HADI ABU BAKAR
PETALING JAYA - Walaupun
dilantik dalam tempoh kurang lima bulan menjelang kejohanan AFF 2014, Persatuan
Bola Sepak Malaysia (FAM) masih berani meletakkan satu sasaran yang cukup
tinggi buat Dollah Salleh untuk sekurang-kurangnya layak ke perlawanan akhir.
Petunjuk Prestasi Utama (KPI)
yang diletakkan oleh Dollah dilihat seperti satu bebanan memandangkan
pengendali berusia 51 tahun itu mempunyai masa yang singkat membentuk sebuah
skuad yang mantap tambahan kejohanan Piala Malaysia turut berlangsung sepanjang
tempoh persiapan menuju ke kejohanan AFF.
Malah, hanya dua perlawanan
persahabatan sahaja sudah disahkan oleh FAM dengan dua lagi masih lagi dalam
proses perbincangan, sekali gus menyukarkan Dollah menguji kombinasi terbaik
bagi persiapan skuad Harimau Malaya sebelum terbang ke Singapura atau Vietnam
pada November ini.
Bagaimanapun, pengendali
berusia 51 tahun itu tidak gentar untuk menyahut cabaran berkenaan dan berazam
akan menyediakan skuad yang mantap bagi menghadapi kejohanan AFF yang akan
berlangsung dari 22 November hingga 20 Disember.
"Dah jadi lumrah sebagai
seorang jurulatih, sasaran yang tinggi pasti akan diletakkan di bahu saya, dan
walaupun masa terlalu singkat, saya telah diberikan sasaran (oleh FAM) untuk
layak ke perlawanan akhir di kejohanan AFF.
"Saya akan cuba melakukan
sesuatu, dan percaya boleh melakukannya untuk pasukan kebangsaan biarpun saya
percaya ini bukan satu perkara yang mudah," katanya ketika ditemui pada
sidang akhbar memperkenalkan jurulatih baharu di Wisma FAM, semalam.
Turut hadir Setiausaha Agung
FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin, pengurus Harimau Malaya yang juga Naib Presiden
FAM, Datu Sudarsono Osman, dan Pengarah Teknikal FAM, Fritz Schmid.
Dollah ditawarkan kontrak
selama dua tahun setengah bermula dari 1 Julai 2014 hingga 31 Disember 2016
bagi menggantikan tempat Datuk K. Rajagobal yang tidak ditawarkan kontrak
baharu selepas 31 Disember 2013.
Sebelum ini, kerusi panas
Harimau Malaya dikendalikan sementara jurulatih Harimau Muda A, Datuk Ong Kim
Swee selama enam bulan bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia 2015.
Cabaran terdekat yang akan
dilalui oleh Dollah adalah mengumpulkan pemain selepas Hari Raya Aidilfitri
dengan perlawanan persahabatan berdepan Tajikistan yang dijadualkan pada 8
Ogos.
"Ini satu lagi tugasan
yang sukar kerana kita hanya mempunyai masa yang singkat untuk melatih semua
pemain kerana hanya dua atau tiga hari sahaja di sini sebelum bertolak ke sana.
"Mungkin pada penghujung
September, kita mempunyai masa sekurang-kurangnya 20 hari untuk berlatih
bersama, dan diharapkan daripada situ, saya dapat melakukan sesuatu, "
katanya.
Dalam masa sama, Dollah
membayangkan akan mengekalkan majoriti 60 hingga 70 peratus muka-muka lama
dalam pasukan Harimau Malaya sambil menjadikan Piala Malaysia sebagai medan
mencari bakat-bakat baru.
"Buat masa ini bagi
menghadapi perlawanan persahabatan tidak lama lagi, saya akan menyenaraikan
pemain-pemain lama, namun menjelang Piala Malaysia tidak lama lagi, saya akan
memantau secara dekat prestasi para pemain.
"Daripada situ, saya akan
membuat penilaian terbaru, dan menguji mana-mana pemain yang difikirkan layak
sebelum kita mendapat kombinasi terbaik bagi mengharungi kejohanan AFF,"
katanya.
RUJUKAN-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140710/su_01/Misi-sukar-Dollah#ixzz37A5qYDOB
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment