Ad

Sunday, 13 July 2014

Milik siapa?


Rio de Janeiro: Empat pemain Jerman, tiga Argentina serta masing-masing seorang dari Brazil, Colombia dan Belanda disenarai pendek untuk menerima anugerah “Bola Emas” selaku pemain terbaik Piala Dunia.

Antara yang berada dalam senarai 10 pemain terbaik itu adalah pemain pertahanan dari pasukan finalis Piala Dunia Jerman Mats Hummels, pertahanan kanan Philipp Lahm, pemain tengah Toni Kroos dan penyerang Thomas Mueller yang setakat ini sudah meledak lima gol.

Pemain pasukan lawan mereka di final awal pagi esok, Argentina turut tersenarai iaitu pemain sayap Angel Di Maria, pemain tengah Javier Mascherano dan penyerang yang meledak empat gol serta kapten Lionel Messi.

Turut tidak ketinggalan, pemain tengah menyerang Colombia James Rodriguez yang dianggap paling menyerlah di kejohanan ini apabila menjadi penjaring terbanyak setakat ini dengan enam gol untuk membantu pasukannya ke suku akhir sebelum tumpas di tangan Brazil.

Dua lagi pemain yang tersenarai ialah penyerang lincah Belanda Arjen Robben yang menjaringkan tiga gol untuk membawa Belanda melangkah ke separuh akhir serta bintang Brazil Neymar dengan ledakan empat gol sebelum berehat akibat kecederaan.

Badan induk bola sepak antarabangsa, FIFA akan mengumumkan pemenang selepas final awal pagi esok.

Penyerang Uruguay Diego Forlan adalah penerima anugerah pemain terbaik kejohanan di Afrika Selatan empat tahun lalu.

Bagi anugerah “Sarung Tangan Emas” yang dikhaskan untuk penjaga gol terbaik menyaksikan perebutan antara penjaga gawang Jerman Manuel Neuer, Sergio Romero (Argentina) dan Keylor Navas (Costa Rica) yang membawa pasukan dari Amerika Tengah itu ke suku akhir Piala Dunia buat kali pertama.

Anugerah pemain muda terbaik pula menjadi rebutan pemain Perancis Paul Pogba dan Raphael Varane serta Memphis Depay dari Belanda.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/13


No comments:

Post a Comment