ISNIN, 7 DISEMBER 2015 @ 7:05 AM
Kad merah bukan punca kalah: Irfan
Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor dan Bashah Zainol Abidin bhsukan@bh.com.my
PENGENDALI United FC, Irfan Bakti Abu Salim. - Foto Hasriyasyah Sabudin ALOR SETAR: Pengendali FELDA United FC, Irfan Bakti Abu Salim menegaskan kad merah yang diterima Indra Putra Mahayuddin bukan penyebab utama kekalahan 2-1 pasukannya kepada Kedah, malam tadi. Irfan mengakui pertahanan longgar antara faktor pasukannya gagal melakar kejutan pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Darul Aman itu.
"Bagi saya tidak juga (bukan sebab kad merah Indra kami tewas). Pemain saya sudah memberikan segala-galanya dan mencuba yang terbaik. "Malah, Indra keluar pun ketika kami sudah ketinggalan 2-1. Walaupun bermain dengan 10 pemain, pemain saya tetap memberi tentangan dan berpeluang mendapatkan gol," katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Idra Putra diperintah keluar padang oleh pengadil, Muhammad Zamzaidi Katimin, pada minit ke-61 apabila pemain veteran itu dilayangkan kad kuning kedua kerana menyiku Shafizan Hashim. Malah, Muhammad Zamzaidi juga turut mengarahkan penolong pengurus satu pasukan Kedah, Shafarizam Baderom berada di tempat duduk penyokong selepas dia melakukan provokasi terhadap Indra. Ini adalah kali kedua berturut-turut FELDA United terkandas di separuh akhir Piala Malaysia selepas musim lalu tewas 5-6 secara agregat kepada Johor Darul Ta'zim (JDT).
Sumber : http://www.bharian.com.my/node/102809
No comments:
Post a Comment