ARKIB : 09/10/2006
Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR
ABDULLAH
DUA orang daripada ulama tiga
serangkai yang paling cemerlang dalam sistem pembinaan Islam, masyarakat dan
kerajaan Kelantan telah didokumenkan dalam halaman Agama Utusan Malaysia. Dua
ulama dan tokoh yang dimaksudkan ialah Datuk Nik Mahmud, Perdana Menteri Paduka
Raja Kelantan dan Al-Alim Allamah Al-Arif Billah Syeikh Muhammad Yusuf bin
Ahmad (Tok Kenali). Seorang lagi, menjadi tiga orang serangkai yang
dimaksudkan, nama lengkapnya ialah Haji Muhammad bin Muhammad Said Khathib bin
Jamaluddin bin Muhammad. Profil ulama ini pernah ditulis oleh Ismail Awang
dalam majalah Pengasuh dan kemudian disunting oleh Ismail Che Daud untuk
dimuatkan dalam Tokoh-Tokoh Ulama Semenanjung Melayu, jilid 1.
Namun yang menjadi rujukan
utama saya ialah biodata yang termaktub dalam buku karya beliau judul Telegraf
Dari Perut Ikan atau Perlawatan Sir Hugri Clifford Ketua Polis Amerika.
Sungguhpun buku tersebut karya Haji Muhammad bin Muhammad Said Khathib tetapi
biodata adalah ditulis oleh penerbit buku itu, iaitu Haji Nik Mahmud bin Haji
Abdul Majid dalam cetakan Al-Mathbaah Al-Kamaliyah, Kota Bharu, Kelantan pada
tahun 1941. Ada beberapa pertikaian maklumat antara satu dengan lainnya. Oleh
itu, saya kemukakan perbandingan untuk memudahkan para pengkaji yang berminat
dengan sejarah ini.
Tok Kenali dianggap sebagai
orang yang paling atas dalam kedudukan sebagai seorang ulama, Datuk Nik Mahmud
dan Haji Muhammad bin Muhammad Sa'id Khathib, kedua-duanya juga ulama,
menduduki kedudukan yang paling tinggi dari segi pentadbiran di kerajaan
Kelantan pada zaman mereka. Pada siri yang lalu, Tok Kenali dikatakan
mencurahkan sepenuh khidmatnya kepada Syeikh Ahmad al-Fathani, berbeza dengan
Haji Muhammad bin Muhammad Sa'id Khathib. Beliau mencurahkan sepenuh khidmatnya
kepada Syeikh Muhammad Shaghir (Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani). Haji Muhammad
bin Muhammad Said Khathib menjadi anak angkat dan tinggal di rumah Syeikh Nik
Mat Kecik al-Fathani.
Jumlah anak-anak yang tinggal
di rumah Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani memang ramai. Selain Haji Muhammad bin
Muhammad Said Khathib, termasuk juga pada masa yang sama ialah ayah saya Haji
Abdullah dan datuk saya, Haji Wan Abdur Rahman. Semuanya tinggal dan berkhidmat
kepada ulama Patani yang merupakan penyusun kitab Mathla' al-Badrain yang
terkenal itu.
Kesimpulannya, baik Tok Kenali,
Datuk Nik Mahmud, Datuk Laksamana, ayah dan datuk saya, semuanya pernah bertemu
dalam jemaah dan halaqah Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani. Demikian juga dengan
dua ulama lagi yang sangat erat hubungannya iaitu Syeikh Wan Ali Kutan
al-Kalantani dan Syeikh Ahmad al-Fathani.
*Bahasan
Berdasarkan petikan pelbagai
maklumat, saya tidak pasti apakah benar ia ditulis oleh Haji Nik Mahmud bin
Haji Abdul Majid ataupun Encik Hasyim bin Haji Muhammad Datuk Perdana. Oleh
kerana buku Telegraf Dari Perut Ikan diterbitkan oleh Haji Nik Mahmud bin Haji
Abdul Majid, maka saya anggap ia sebagai tulisan beliau. Tertulis lengkap dan
bahasannya sebagai berikut, ...pada 30 Januari 1888, diperanakkan di dalam
bandar Kota Bharu. Tarikh itu jika kita tukar kepada menurut tarikh Islam
ialah Ahad, 16 Jamadilawal 1305 H.
Dasar saya menentukan penyamaan
tarikh adalah buku Jadual Tarikh, Bulan dan Tahun Hijri oleh Raja Haron bin
Raja Mohammad Salleh, jilid 15 (lihat hlm. 9). Ketentuan ini selisih satu hari
dengan nota yang ditulis oleh Ismail Che Daud dalam Tokoh-Tokoh Ulama
Semenanjung Melayu, jilid 1 (hlm. 222), yang menyebut hari Isnin, 17/5/1305 H
(maksudnya 17 Jamadilawal 1305 H, pen:).
Mengenai selisih satu hari
hitungan hisab ataupun perbandingan hisab dengan rukyah ia adalah perkara
lumrah. Ia masih dapat diterima sebagai betul. Oleh sebab tulisan Ismail Awang
menyebut bahawa 30 Januari 1888 M itu adalah hari Khamis, maka ia perlu
diperbetulkan. Yang betul ialah salah satu di antara dua, iaitu hari Ahad
ataupun hari Isnin. Selain itu ada yang menyebut Haji Muhammad bin Haji
Muhammad Said lahir pada tahun 1306 H adalah fakta yang masih sukar untuk
diterima sebagai sahih selagi ia tidak mengemukakan fakta-fakta yang cukup
meyakinkan.
Haji Nik Mahmud bin Haji Abdul
Majid menulis selanjutnya, Pada bulan Rejab 1901 dihantarkan ke Mekah kerana
menuntut ilmu agama dan pada tahun 1911 berpindah ke Mesir. Bulan Rejab 1901 M
tersebut sebenarnya adalah pada bulan Oktober ataupun November, bersamaan dengan
bulan Rejab 1319 H. Tarikh ini tidak perlu dipertikaikan kerana ia bererti
beliau mulai berangkat dari Kota Bharu ke Singapura walaupun Ismail Awang
menyebut bahawa Haji Muhammad bin Haji Muhammad Said belayar dari Singapura ke
Mekah pada 7 Syaaban 1320 H (1903 M). Ketentuan tarikh yang ditulis oleh Ismail
Awang tersebut kemungkinan keliru.
Ismail Che Daud pula memberi
nota bahawa tarikh 7 Syaaban 1320 H adalah bersamaan dengan 8 November 1902 M,
bukan tahun 1903 M. Jadi jika kita bandingkan tarikh di atas bererti walaupun
beliau berangkat dari Kota Bharu pada bulan Rejab 1319 H/Oktober - November
1901 M ke Singapura, beliau ternyata berangkat dari Singapura ke Mekah setahun
kemudian (7 Syaaban 1320 H/8 November 1902).
Tentang Haji Muhammad bin Haji
Muhammad Said pulang ke Kelantan, Haji Nik Mahmud bin Haji Abdul Majid
menulis, Pada bulan Muharam 1914 dari Mesir balik ke watan Kelantan. Bererti
tarikhnya Muharam 1333 H bersamaan dengan November - Disember 1914 M. Ismail
Awang menulis bahawa beliau sampai di Kelantan pada 20 Zulkaedah 1331 H, diberi
nota oleh Ismail Che Daud bersamaan 9 Oktober 1914. Penyamaan tarikh ini
kemungkinan tersalah cetak atau terkeliru hitungan kerana 20 Zulkaedah 1331 H
adalah bersamaan dengan 20 Oktober 1913 M, bukannya 9 Oktober 1914 M.
Haji Nik Mahmud bin Haji Abdul
Majid menulis pula, Pada 7 Disember 1915 dilantik menjadi Setiausaha Majlis
Agama Islam dan Istiadat Melayu (Setiausaha Yang Pertama).
Penubuhan Majlis Ugama Islam
dan Adat Istiadat Melayu Kelantan adalah idea tiga serangkai ulama Kelantan
itu, iaitu Haji Muhammad bin Muhammad Said, Nik Mahmud dan Tok Kenali.
Haji Nik Mahmud bin Haji Abdul
Majid menulis pula, Pada 3 Mac 1916 dilantik menjadi Penolong Setiausaha Yang
Kedua kepada Duli Yang Maha Mulia As-Sultan Muhammad Keempat.
Ismail Awang menyebut bahawa
pelantikan tersebut ialah pada 1 Mac 1916, bererti dua hari awal daripada yang
disebut oleh Haji Nik Mahmud bin Haji Abdul Majid. Pelantikan selanjutnya, Pada
1 Januari 1917 dilantik menjadi Penolong Setiausaha Kerajaan dan menjadi Kerani
Majlis Mesyuarat Kerajaan. Pada 30 April 1918 dikurnia gelaran Datuk Bentara
Jaya. Pada 13 Ogos 1919 diangkat menjadi Naib Yang Dipertua Majlis Ugama Islam.
Pada 1 Oktober 1919 menjadi Pengarang Majalah Pengasuh.
Perlu diperhatikan bahawa Ketua
Pengarang Pengasuh yang pertama bukan Haji Muhammad bin Muhammad Said tetapi
adalah Tok Kenali. Sungguhpun demikian terdapat tulisan Haji Muhammad bin
Muhammad Sa'id dalam majalah Pengasuh terbitan tahun 1, bilangan 1 (yang
pertama) pada 11 Julai 1918. Tulisan beliau diberi judul Kemajuan Surat-Surat
Khabar dan Penggunaannya.
Tulis Haji Nik Mahmud bin Haji
Abdul Majid pula, Pada 15 April 1920 dikurnia Bintang Al-Muhammadi III, Seri
Mahkota Kelantan. Mengenai hal ini tidak disebut oleh Ismail Awang dalam
tulisannya. Selanjutnya disebut pula, Pada 23 haribulan April 1921 dikurnia
gelaran Datuk Laksamana. Gelaran Datuk Laksamana tersebutlah yang banyak
diperkatakan orang sehingga nama aslinya tidak disebut orang lagi.
Kenyataan di atas sama dengan
tulisan Ismail Awang dengan tambahan kalimat, dan dikurniakan Darjah
Al-Muhammadi II Datuk Paduka Mahkota Kelantan (DPMK) oleh As- Sultan Ismail.
Walau bagaimanapun, kenyataan Ismail Awang itu berbeza tarikh seperti yang
dinyatakan oleh Haji Nik Mahmud bin Haji Abdul Majid dengan kalimat yang
berikutnya, katanya: Pada 29 April 1921 dikurnia Bintang Al-Muhammadi II
Darjah Paduka Mahkota Kelantan. Dilanjutkan dengan kalimat, Pada 21 Julai
1925 dikurnia Bintang Al-Muhammadi I Seri Paduka Mahkota Kelantan.
Tarikh yang disebut oleh Ismail
Awang ialah 27 Julai 1925 dengan tambahan keterangan bahawa Darjah Kebesaran
Al-Muhammadi I oleh Duli Yang Mulia As-Sultan Ismail. Dilanjutkan dengan
kalimat, Pada 12 September 1925 menjadi Setiausaha Kerajaan Kelantan. Ismail
Awang menambah keterangan: Beliaulah orang yang pertama memegang jawatan itu.
(Tokoh-Tokoh Ulama Semenanjung Melayu, jilid 1, hlm. 227-228).
Tulisan selanjutnya, Pada 25
Oktober 1925 menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan. Pada 3 Jun 1927 menjadi
Wakil Tubuh Duli Yang Mulia as-Sultan Kelantan menyambut ketibaan Pesuruhjaya
Tinggi, Sir Hugri Cliffford ... di Singapura.
Hal ini tidak disebut oleh
Ismail Awang. Selanjutnya, Pada 1 September 1929 dilantik menjadi Pemangku
Menteri Besar Kelantan. Ismail Awang menyebut bahawa jawatan itu beliau pegang
hingga 31 Disember 1929. Dijelaskannya bahawa pada tarikh yang tersebut Datuk
Perdana Menteri Paduka Raja bercuti. Selanjutnya, Pada 21 Julai 1931 dikurnia
Bintang Al-Yunusi Darjah Kerabat. Ditambah keterangan oleh Ismail Awang Yang
Amat Dihormati - Darjah Kerabat Kelantan (DK). Selanjutnya Pada 29 Mac 1933
bersara daripada jawatan Setiausaha Kerajaan. Ismail Awang menambah maklumat
bahawa tempatnya diganti oleh Nik Ahmad Kamil bin Datuk Nik Mahmud. Sungguhpun
Datuk Laksamana telah berhenti daripada jawatan itu namun dinyatakan Pada 28
Mei 1933 menjadi Wakil Tubuh Duli Yang Mulia as-Sultan Kelantan pada hari
pertabalan Duli Yang Mulia as-Sultan Pahang.
Setelah itu, Pada 21 Disember
1933 berhenti daripada Naib Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Istiadat Melayu
dan berhenti daripada Pengarang Pengasuh.
*Keturunan
Sebelum menutup tulisannya,
Haji Nik Mahmud bin Haji Abdul Majid mencatat tarikh wafat Datuk Laksamana. Pada
20 Mac 1939 pukul 4 pagi memberi selamat tinggal kepada anak isterinya,
saudara-saudaranya dan kaum warisnya menghadap ke hadrat Tuhan Rabbul Alamin,
berpindah ke negeri yang kekal dengan meninggalkan tujuh anaknya....
Tujuh anak yang beliau sebut
ialah: 1. Encik Hasyim, pegawai Melayu. 2. Encik Abdul Malik, dalam pengajian.
3. Encik Abdur Rahman, dalam pengajian. 4. Cik Hasmah, isteri Nik Muhammad bin
Datuk Amar. 5. Cik Hafsah, isteri Nik Mustafa Fadhil bin Datuk Perdana Menteri
Paduka Raja. 6. Cik Rugayah. 7. Cik Salma.
Daripada semua nama yang
tersebut, saya pernah bertemu dengan Nik Mustafa Fadhil (pada tahun 1976).
Daripada beliau saya peroleh banyak maklumat yang belum dapat dimuat dalam
artikel ini.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1009&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz4rf9U0HAB
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment