Pemain naturalisasi Hong Kong
ancaman utama Malaysia
Ketua Jurulatih Harimau Malaya,
Nelo Vingada (dua dari kiri) bersalaman bersama Ketua Jurulatih Syria, Ayman Al
Hakeem (dua dari kanan) sambil disaksikan oleh Kapten Harimau Malaya, Safiq
Rahim (kanan) dan Kapten Syria, Mahmoud Al Mawas (kiri) di Sidang akhbar
Pra-Perlawanan Antarabangsa A Malaysia lwn Syria di Hotel Hatten, Banda Hilir,
di sini hari ini. Utusan/MOHD. AZIM ABD. RAHMAN
05 September 2017 3:00 AM
MELAKA 4 Sept. – Kehadiran
ramai pemain naturalisasi menjadikan Hong Kong pasukan yang sukar dijangka dan
mampu membuat kejutan apabila menentang Malaysia dalam kelayakan Piala Asia
2019 di Stadium Hang Jebat, esok.
Tonggak pertahanan Harimau
Malaya, Nazirul Naim Che Hashim juga mengakui, ketinggian yang dimiliki benteng
lawan mampu memberi kesukaran buat pemain negara dalam melakukan sepakan sudut
atau hantaran bola lambung.
Katanya lagi, pemain
naturalisasi negara itu juga memiliki skil dan kawalan bola yang baik, selain
dibantu rangkaian serangan yang mampu mengundang masalah buat Malaysia andai
diberi terlalu banyak ruang.
“Mereka memiliki beberapa
pemain naturalisasi yang mampu memberi masalah kepada kita jika tidak diawasi dan
diberi banyak ruang.
“Bagaimanapun, Hong Kong juga
ada kelemahan dan kita perlu memanfaatkan sepenuhnya kelemahan itu, selain
berterusan mengatur serangan ke gawang mereka.
“Saya pasti jurulatih (Nelo
Vingada) sudah mempunyai perancangan tersendiri dan mengenal pasti kelemahan
lawan, kami hanya akan beraksi mengikut strategi yang dirancang. Sudah tentu
tiga mata adalah misi utama,” ujarnya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sementara itu ketua pasukan
Harimau Malaya, Safiq Rahim mahu rakan-rakannya memanfaatkan aksi di tempat
sendiri untuk mengutip tiga mata selepas terlepas berbuat demikian dalam
perlawanan sulung ekoran kekalahan 1-2 kepada Lebanon di Larkin, 13 Jun lalu.
Pemain tengah berusia 30 tahun
itu berkata, kemenangan dalam perlawanan kedua Kumpulan B menentang Hong Kong
esok juga adalah peluang terbaik skuad negara bagi mencerahkan laluan ke
pusingan seterusnya.
“Sebagai pemain, kami perlu
mengikut apa sahaja yang diarahkan oleh ketua jurulatih dan menjalankan
tanggungjawab yang diberi oleh beliau.
“Pihak lawan ada perancangan
dan kelebihan mereka yang tersendiri, tetapi kita juga ada kelebihan selain
bermain di tempat sendiri, maka kita tidak boleh mensia-siakan peluang itu,”
katanya dalam sidang akhbar di Banda Hilir di sini hari ini.
Dalam masa sama katanya,
sokongan daripada peminat bola sepak tanah air juga diharapkan dapat memenuhi
stadium dalam perlawanan itu bagi meningkatkan motivasi para pemain negara.
“Apabila turun ke padang,
sokongan penonton mampu membakar semangat pemain dan kami amat mengharapkan
semua pihak dapat datang menyaksikan perlawanan itu,” katanya lagi
Sumber-UTUSAN MALAYSIA ONLINE 05
September 2017 3:00 AM
No comments:
Post a Comment