MENGHADIRI ceramah sempena Maulidur Rasul antara tanda kasih Mukmin kepada Baginda. - Foto hiasan
Kelahiran Nabi Muhammad SAW membawa
rahmat dan barakah yang besar kepada alam ini sehinggakan terdapat syair
menggambarkan kemuliaan serta kegembiraan menyambut kelahiran Baginda
Rasulullah SAW.
Antara syair yang berkumandang
tatkala kelahiran Baginda yang dirakam oleh umat terdahulu adalah 'bibir zaman
ini mengukir senyuman menerima kelahiran seorang insan yang agung'.
Ustaz Mohd Nazrul Abdul Nasir
menerusi rancangan Tarbiah di radio IKIMfm setiap Jumaat, jam 10.30 pagi
berkata, tidak ada perkara yang paling memberi rahmat dan keberkatan kepada
alam maya ini selain menerima kelahiran insan agung Nabi Muhammad SAW.
Oleh itu, umat Islam yang
berkumpul secara beramai-ramai bertujuan memuji dan mengingati kelahiran
Baginda Rasulullah SAW tidak perlu dipertikaikan lagi, kerana perbuatan itu
tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
Menurut Mohd
Nazrul, sungguhpun ada
sesetengah pihak melemparkan suara sinis mempertikaikan perbuatan mengingati
kelahiran atau kedatangan insan agung ke dunia sebagai perbuatan bidaah atau
seumpamanya, itu hanyalah pandangan dangkal dan cetek.
Mengingati kelahiran Rasulullah
Ajaran Islam sangat luas,
cantik dan Islam itu sendiri menganjurkan kepada perkara yang membawa kebaikan.
Seorang Mukmin yang ada iman di dada, ada kematangan dan kebaikan dalam dirinya
tidak sesekali mempertikaikan perbuatan yang mengajak umat Islam untuk
menyambut kelahiran Nabi SAW.
Bagi seorang Mukmin yang jiwa
dan rohnya dekat dengan Rasulullah SAW, secara tidak langsung menghadirkan
perasaannya untuk mengingati kelahiran Baginda dengan melaksanakan amalan baik
seperti berhimpun beramai-ramai serta berselawat kepada Baginda Rasulullah SAW.
Menjelaskan lanjut, Mohd Nazrul
membuat analogi suami yang mencintai isterinya tidak memerlukan sebarang dalil
untuk menjelaskan perasaan cinta terhadap isterinya kerana manusia yang
mencintai manusia lain, perasaan cinta itu terbit secara azali tanpa perlu
dipaksa atau dicipta perasaan itu.
Riwayat mengisahkan mengenai
seorang lelaki Bani Israel yang membuat kejahatan sehingga kaumnya membenci
kejahatan lelaki itu. Apabila lelaki itu meninggal dunia, jenazahnya tidak
diuruskan sebaliknya dilempar ke tempat pembuangan sampah.
Nabi Musa diberi wahyu oleh
Allah SWT untuk menyempurnakan mayat lelaki itu. Nabi Musa dengan tangannya
yang mulia menguruskan sendiri mayat lelaki berkenaan. Selesai menguruskan mayat,
Nabi Musa ke rumah keluarga lelaki itu dan bertanya kepada isterinya:
"Apakah amalan yang dilakukan oleh lelaki ini sehingga mendapat fadilat
demikian iaitu mayatnya mendapat kemuliaan Allah SWT. Isteri lelaki itu
menjawab: Sebelum tidur, dia meletakkan kitab Taurat di sebelahnya dan
membacanya. Dalam pembacaannya apabila tiba pada satu nama, maka dia berhenti
dan mencium nama itu. Nama itu adalah Nabi Muhammad SAW."
Lelaki itu mempunyai ikatan
hati yang sangat kuat dengan Rasulullah SAW, malah hatinya telah ditakluk
dengan nama Nabi Muhammad SAW. Justeru, Allah SWT memberi kerahmatan kepada
lelaki yang memiliki hati yang kuat terhadap Baginda Rasulullah SAW.
Oleh itu, bagi seorang Mukmin
yang mencintai Rasulullah SAW, mempunyai kekuatan perasaan yang utuh dan kuat
kepada Baginda adalah satu perbuatan yang tidak ditolak oleh Allah SWT.
Mempunyai rasa cinta dalam hati bukan sesuatu yang dipaksa kerana ia hadir
secara semula jadi.
Mencintai Rasulullah SAW akan
mendapat kemuliaan dan kerahmatan daripada Allah SWT. Sungguhpun umat hari ini
tidak berpeluang menatap wajah Rasulullah SAW, tetapi perasaan cinta kepada
Baginda tetap diterjemahkan dengan pelbagai cara asalkan tidak bercanggah
syariat Islam.
Jika dilihat riwayat kehidupan
Abu Lahab yang mempunyai peluang menatap serta hidup pada zaman Nabi SAW,
tetapi kerana tiada iman di dada, Abu Lahab menolak ajaran Nabi Muhammad SAW.
Bebas hamba, kahwinkan anak
dengan anak Rasulullah
Walaupun demikian, dalam satu
riwayat menceritakan pada waktu kelahiran Nabi Muhammad SAW, Abu Lahab sangat
gembira dengan kehadiran Baginda, sehinggakan membebaskan hambanya bernama
Suwaibah kerana terlalu gembira. Bukan itu sahaja, Abu Lahab mengahwinkan
anaknya dengan anak Rasulullah SAW.
Lantaran kasih terhadap
Baginda, disebut dalam hadis riwayat Bukhari yang diceritakan Ibn Abbas, beliau
bermimpi bertemu Abu Lahab dan bertanyakan apakah yang telah Allah SWT lakukan
kepadanya di alam kubur. Lalu Abu Lahab menyatakan, pada setiap Isnin Allah SWT
telah melepaskan dirinya daripada seksa kubur dan Allah SWT telah mengeluarkan
air dari celah jarinya untuk diminum. Ini adalah pemberian rahmat dan
pembalasan Allah SWT terhadap satu hari kegembiraan Abu Lahab menyambut
kelahiran Nabi SAW ke dunia ini.
Jika hari ini, umat Nabi
Muhammad SAW gembira sepanjang waktu apabila mengingati Baginda, apatah lagi
pada hari kelahiran Nabi ke dunia ini, betapa besar rahmat dan kebaikan yang
Allah SWT kurniakan kepada hamba-Nya.
Seseorang Mukmin yang cintakan
Nabi Muhammad SAW menzahirkan perasaan kasih dan sayang dengan kebahagiaan
serta kesyukuran mengenang kehadiran Baginda ke dunia ini. Malah, seorang
Mukmin juga dianjurkan untuk sembunyikan kegelisahan serta kesedihan atas
kewafatan Baginda yang jatuh pada hari sama dengan kelahirannya
Sumber-Berita Harian online Sabtu,
2 Januari 2016 | 6:34am
No comments:
Post a Comment