Ad

Friday, 1 September 2017

Tekad padam duka

 Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain paling berpengaruh dalam skuad bawah 22 tahun negara (B-22) Adam Nor Azlin mahu rakan sepasukannya melupakan segera kekalahan di pentas final dengan menjadikan saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China tahun depan sebagai medan kebangkitan.

Jelas tonggak pertahanan kental itu, kekecewaan tumpas 0-1 di tangan Thailand perlu segera diubati dan mengambilnya secara positif untuk tampil lebih matang pada kempen Piala AFC itu nanti.

“Semua sedih kekalahan ini, tapi ia suatu pengajaran bagi kami pada masa akan datang. Pemain diharapkan dapat bangkit secepat mungkin untuk fokus pada saingan AFC tahun depan.

“Secara keseluruhan saya berbangga dengan pasukan, seperti semua maklum persiapan kami agak hambar tapi tetap dapat mara ke final.

“Satu kebanggaan bagi saya, malah penyokong Malaysia juga patut bangga dengan kami walaupun persiapan serba kekurangan kami tetap layak (final),” kata pemain Selangor berusia 21 tahun itu.

Nada sama turut disuarakan tonggak tengah pasukan, Nor Azam Abdul Azih yang berharap persiapan bagi menghadapi saingan Piala AFC tidak terganggu dan mendapat kerjasama semua pasukan liga tempatan.

“Kami sudah cuba yang terbaik sepanjang perlawanan terutama di babak kedua apabila lebih banyak menyerang ke kubu mereka.

“Tapi apakan daya rezeki tak memihak kami walaupun menguasai aksi final. Namun ada yang positif dalam pasukan kerana kami semakin serasi dari perlawanan ke perlawanan.

“Situasi ini baik kerana selepas ini bermula cabaran Piala AFC pula. Saya harap kami tidak dihantui masalah persiapan sekali lagi,” kata Azam yang meledak satu gol ketika menentang Singapura di peringkat kumpulan temasya dwitahunan itu.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu dijangka dikumpulkan semula pada Disember dengan saingan di China bermula dari 9-27 Januari depan.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 12:00 PM

No comments:

Post a Comment