PEMAIN Malaysia sugul selepas
tewas kepada Thailand 0-1 pada perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA Ke-29 di
Stadium Shah Alam, malam tadi. – UTUSAN /Hafiz Johari
30 Ogos 2017 3:00 AM
SHAH ALAM 29 Ogos - Episod sama
berulang malam tadi. Penjaga gol sekali lagi merosakkan kesempurnaan kejayaan
Malaysia menjadi juara Sukan SEA seperti yang berlaku dalam perlawanan akhir
bola sepak pada 2001 dengan keputusan serupa 1-0.
Jika 16 tahun lalu Kamarulzaman
Hassan menampan bola masuk ke gawang sendiri di Stadium Shah Alam, malam tadi
Muhammad Haziq Nadzli melakukannya menentang lawan sama digelanggang yang sama.
Satu kesilapan, dan Malaysia hilang emas yang ditunggu untuk melengkapkan
status juara keseluruhan temasya Kuala Lumpur 2017.
Kamarulzaman dan Muhammad Haziq
melakukan kesilapan serupa iaitu gagal menjinakkan hantaran dari sebelah kiri
gawang. Bezanya Kamarulzaman menepis umpanan lintang Sarawut Treephan ke dalam
gawang sendiri pada minit-minit akhir perlawanan manakala Muhammad Haziq
menumbuk sepakan sudut Sasalak Haiprakhon pada minit ke-38.
Walaupun kecewa dengan
kekalahan pasukannya, jurulatih skuad negara, Datuk Ong Kim Swee tidak
menyalahkan Muhammad Haziq.
“Kami sudah memberikan cabaran
kepada pasukan lawan namun gol yang dilepaskan seperti itu dilakukan pada waktu
yang salah.
“Saya tahu bukan mudah untuk
dia (Muhammad Haziq) menerimanya. Saya tidak menyalahkan dia dan berharap dia
dapat melupakan perkara itu.
“Jadikan ini sebahagian
daripada proses pembelajaran,” kata Kim Swee kepada wartawan selepas
perlawanan.
Indonesia pula meraih pingat
gangsa selepas bangkit pada babak kedua untuk menumpaskan Myanmar dalam
perlawanan penentuan tempat ketiga.
Kemenangan terbaru ini
melebarkan rekod kejayaan Thailand dalam acara bola sepak lelaki Sukan SEA
kepada 16 kali. Skuad yang dibimbing bekas pemain Kelantan, Worrawoot Srimaka
juga mempertahankan pingat emas yang dimenangi dua tahun lalu di Singapura.
Walaupun tewas, skuad Kim Swee
telah menunjukkan semangat juang yang tinggi terutama selepas rehat untuk
memburu gol penyamaan walaupun cemas pada minit ke-52 apabila Chenrop Samphaodi
mengatasi Muhammad Adib Zainudin sebelum melorong bola kepada Worachit
Kanitsribumphen, namun kuisan pemain itu ditampan keluar oleh pemain pertahanan
Adam Nor Azlin untuk menyelamatkan gawang negara daripada dibolosi kali kedua.
Tersentak dengan serangan itu,
skuad muda negara mengatur serangan lebih kemas dan peluang keemasan hadir pada
minit ke-78 menerusi rembatan kencang Muhammad Syazwan Andik Mohd. Ishak dari
luar kotak penalti namun bola melepasi sedikit palang gol.
Sementara itu Malaysia meraih
29 pingat emas lagi hari ini untuk menjadikan jumlah kutipan keseluruhan 140
dengan acara silat menjadi penyumbang terbesar setelah memenangi tujuh.
Lumba basikal pula menjadi
penyumbang kedua terbesar dengan lima termasuk emas daripada raja keirin dunia,
Azizulhasni Awang. Pingat emas lain dimenangi di gelanggang terjun (tiga),
pelayaran (tiga), luncur air (tiga), muay (dua), dan masing-masing satu oleh
luncur ais, polo, hoki lelaki, skuasy, sepak takraw dan badminton.
Sebanyak tujuh lagi pingat emas
dipertaruhkan pada hari terakhir esok menerusi acara terjun (dua), luncur ais
(empat) dan angkat berat (satu).
SUMBER-UTUSAN MALAYSIA 30 Ogos
2017 3:00 AM
No comments:
Post a Comment