KENDERAAN yang terperangkap
dalam salji setebal 37 sentimeter.
RIBUT salji yang melanda
sebahagian besar Asia Barat pada Jumaat lalu telah menenggelamkan
Baitulmuqaddis, menyebabkan banjir di Gaza dan keadaan dingin serta basah di
negara yang bergolak, Syria.
Keadaan itu juga merupakan kali
pertama selepas 100 tahun Baitulmuqaddis diliputi salji tebal yang menyebabkan
beberapa tempat utama ditutup.
Menurut laporan agensi berita
AFP, ribut salji terburuk sejak tahun 1879 itu turut menyebabkan gangguan
bekalan elektrik ke atas lebih 29,000 kediaman di seluruh Israel, termasuk
13,000 di Baitulmuqaddis.
Keadaan tersebut telah memaksa
pihak berkuasa meningkatkan kawalan dan melakukan sekatan kepada orang ramai
yang ingin melawat bandar-bandar bersejarah di negara berkenaan.
Di samping itu, agensi berita
Mesir, MENA melaporkan, pelabuhan utama di Laut Mediterranean dan Laut Merah
ditutup selama tiga hari berturut-turut sebagai langkah berjaga-jaga.
Salji turut meliputi Ramallah
dan Bethlehem, bandar raya Palestin yang terletak berhampiran Baitulmuqaddis,
sementara beberapa kawasan di tanah rendah mengalami banjir ekoran hujan lebat.
Dengan salji turun berterusan
dan suhu persekitaran yang kian menurun, beberapa kawasan di Lebanon, Turki dan
utara Syria turut berhadapan dengan tiupan angin kuat dan sejuk sejak seminggu
lalu. Ia membawa satu lagi musibah kepada dua juta penduduk Syria yang sedia
dilanda kekacauan dan kemusnahan lantaran perang saudara.
Ekoran itu, pihak berkuasa
Israel telah mengeluarkan arahan menerusi media pada Jumaat lalu yang
menghalang orang ramai memasuki dan keluar dari Baitulmuqaddis.
"Seramai 1,500 orang yang
terkandas dalam kesesakan jalan raya telah diselamatkan. Kira-kira 1,000 orang
diberi perlindungan di Pusat Persidangan Antarabangsa
PENDUDUK yang terjejas akibat
banjir ditempatkan di dalam khemah di pusat-pusat penempatan sementara.
Baitulmuqaddis, sementara
ratusan lagi dibawa ke pangkalan tentera berhampiran," ujar jurucakap
polis, Micky Rosenfeld.
Tambahnya, tiga buah pusat
kecemasan telah dibuka dan seramai 350 orang penduduk dirawat disebabkan
simptom kesejukan.
Datuk Bandar Baitulmuqaddis,
Nir Barkat telah meminta bantuan tentera untuk membantu dan menggesa agar
penduduk sekitar berada di rumah masing-masing.
"Selama 54 tahun saya
hidup, tidak pernah saya melihat pemandangan seperti yang berlaku di
sini," ujar Nir.
Takat beku
Ketebalan salji adalah
kira-kira 37 sentimeter. Suhu di bandar raya itu diramalkan mencecah 2 darjah
Celsius pada waktu siang dan menurun ke takat beku pada sebelah malam
Perubahan cuaca itu turut
mendapat perhatian Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry ketika
melawat negara itu baru-baru ini dengan menyatakan suasana sejuk tersebut sama
seperti di kampungnya.
Tebing Barat yang dilanda
banjir memaksa pemerintah Hamas memindahkan penduduk di lebih 60 kediaman ke
sebuah pusat penempatan sementara.
Keadaan buruk itu telah memaksa
Israel membuka lintasan Kerem Shalon ke Gaza bagi membolehkan usaha-usaha
kemanusiaan ekoran permintaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Di Syria, seorang kanak-kanak
dan bayi dilaporkan maut ekoran keadaan sejuk minggu lalu.
Malah, seorang aktivis di
sebuah bandar kawalan pemberontak berkata, penduduk mengalami kesukaran untuk
melindungi diri daripada kesejukan disebabkan ketiadaan bekalan elektrik,
makanan dan bahan bakar.
"Kebiasaannya, kami
berdepan tembakan, pertempuran, kekurangan makanan dan bahan api. Pada hari
ini, keadaan bertambah buruk dengan kehadiran salji dan keadaan yang teramat
sejuk," kata Abu Anas melalui internet dari bandar Hara.
Tambahnya, kanak-kanak dan
warga emas merupakan golongan yang paling terjejas.
Suruhanjaya Tinggi
Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) terpaksa menunda bantuan udara
antarabangsanya ke Syria sebelum ini dengan harapan untuk membawa masuk
kira-kira 40 tan metrik bantuan dari utara Iraq.
LELAKI Palestin ini mengambil
air sembahyang di kawasan Kubah Batu, Baitulmuqaddis.
Tersekat
Di bahagian timur, ribuan
pengguna jalan raya telah terkandas di Iraq ekoran salji tebal.
"Anggota penyelamat telah
membantu 6,600 orang dan lebih 1,700 kenderaan yang tersekat," kata Ketua
Persatuan Bulan Sabit Merah tempatan, Mahmoud Mozafar kepada agensi berita
ISNA.
Sedang penduduk di rantau itu
mengalami kesulitan, penduduk Mesir pula sibuk berkongsi gambar-gambar salji
berkenaan di media sosial.
"Keseluruhan kawasan
kelihatan memutih. Ia merupakan pengalaman pertama saya melihat keadaan seperti
ini," kata Karim Kheirat kepada AFP melalui telefon di bandar Medinati,
timur laut Kaherah.
Kawasan-kawasan pinggir bandar
lain turut memperlihatkan penurunan salji.
Di Semenanjung Sinai, ribut
salji telah mengakibatkan lapisan setebal beberapa sentimeter di kawasan
bergunung sekitar Biara Saint Catherine buat kali pertama sejak sedekad lalu,
Sementara itu, bandar raya
utara, Iskandariah hanya menerima sedikit salji tetapi pihak berkuasa telah
menutup pelabuhan di sana kerana keadaan cuaca yang buruk dan angin kencang. -
AFP
SUMBER:KOSMO ONLINE