PENYERANG Argentina Lionel
Messi menendang bola tepat ke arah penjaga gol Jerman Manuel Neuer semasa aksi
perlawanan akhir Piala Dunia 2014 di Stadium Maracana di Rio de Janeiro,
semalam. - AFP
RIO DE JANEIRO - Meskipun
menerima anugerah Bola Emas namun ketua pasukan Argentina, Lionel Messi nyata
kecewa selepas gagal membantu pasukannya untuk menjulang trofi Piala Dunia
edisi kali ini.
Selepas wisel penamat
dibunyikan di Stadium Maracana dengan pemain Jerman memenuhi dan bergembira di
kawasan padang, Messi diumumkan selaku pemain terbaik kejohanan dan dia
kemudiannya naik ke pentas untuk menerima hadiah dan memberikan senyuman yang
kelihatan dipaksa-paksa.
"Sejujurnya, saya tidak
begitu berminat dengan anugerah ini," katanya.
Pele, Zinedine Zidane dan
Ronaldo sebelum ini menjaringkan gol sensasi di pentas akhir Piala Dunia
manakala Diego Maradona mencipta gol dengan gaya tersendiri untuk menamatkan
kejohanan 1986 tetapi Messi terpinggir menerusi jaringan sensasi Mario Goetze
pada masa tambahan bagi memastikan Jerman muncul juara untuk kali keempat.
Dia sudah pasti akan dihantui
rasa bersalah selepas gagal menyempurnakan peluang pada awal babak kedua
apabila hanya perlu menewaskan penjaga gol, Manuel Neuer untuk mencipta
jaringan tetapi percubaannya tersasar jauh.
Kini Messi mengharungi empat
perlawanan tanpa sebarang jaringan untuk kali pertama di bawah kendalian
Alejandro Sabella.
"Ini merupakan kejohanan
yang sukar dan memberikan tekanan kepada semua orang secara fizikal. Dia
merupakan antara pemain terbaik sepanjang zaman," kata Sabella.
Sehingga kini Messi sudah
menjaringkan 354 gol dalam 425 perlawanan bersama Barcelona dan kecemerlangan
itu tidak dapat dinafikan tetapi kejayaan di pentas Piala Dunia yang didambakan
semua pemain termasuk Messi.
"Saya sanggup berikan
segala kejayaan peribadi saya untuk menjadi juara dunia. Saya lebih gembira
untuk menang Piala Dunia berbanding Ballon d'Or.
"Sebagai pemain, menjuarai
Piala Dunia adalah perkara terbesar. Itu merupakan impian setiap pemain sejak
dari zaman remaja dan tidak pernah pudar," kata Messi kepada akhbar
tabloid Jerman, Bild.
Ketika ribuan peminat Argentina
di Stadium Maracana menantikan kejayaan pasukan mereka, Messi memperoleh peluang
keemasan selepas menerima hantaran Lucas Biglia tetapi percubaannya ke bahagian
kanan tersasar jauh.
Peluang terakhir Argentina
muncul pada penguhujung masa tambahan, namun sepakan bebas Messi dari jarak 30
meter melewati palang, sekali gus memusnahkan impian pasukan dari Amerika
Selatan itu.
Dia akan berusia 31 tahun
apabila Piala Dunia berlangsung di Rusia dan mungkin tidak akan mendapat
peluang lebih baik untuk memenanginya. – AFP
SUMBER-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan_Luar_Negara/20140715/sl_02/Messi-kecewa-gagal-bantu-Argentina#ixzz37TrvgEgU
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment