Ad

Monday, 14 July 2014

Zainal lega laluan Pahang mudah


Kuala Lumpur: Jurulatih Pahang Zainal Abidin Hassan menarik nafas lega selepas selesai undian Piala Malaysia semalam apabila menyaksikan peluang skuad juara bertahan itu untuk melepasi halangan peringkat kumpulan tampak terbuka.

Pahang yang bakal memulakan kempen Piala Malaysia 13 Ogos ini sebagai juara bertahan selepas menundukkan Kelantan 1-0 pada final tahun lalu diundi bersama satu lagi pasukan Liga Super, LionsXII dan dua wakil Liga Perdana, FELDA United dan Johor Darul Ta‘zim II (JDT II) Jika berdasarkan prestasi semasa, LionsXII kurang menyerlah dalam saingan liga musim ini manakala FELDA yang tumpas kepada Pahang pada final Piala FA dilihat mampu memberikan saingan hebat dalam perebutan dua tempat teratas dan JDT II yang beraksi menerusi play-off bolehlah dianggap sebagai pengacau.

Bagaimanapun Zainal yang mengambil alih tugas ditinggalkan rakannya Dollah Salleh pada awal musim ini tetap mengingatkan anak buahnya betapa mereka perlu melipat gandakan usaha jika mahu mengimpikan Piala Malaysia kekal di bumi Pahang.“Persediaan sudah dijalankan sejak dua minggu lalu dan sebagai penyandang juara kami perlu berusaha lebih kuat. Saya tak nafikan FELDA bagus kerana mereka finalis Piala FA, kami juga pernah tewas kepada Singapura dan kemampuan pasukan JDT II juga tidak boleh dipandang mudah.

“Saya mahu pemain lupakan segala tekanan, bermain mengikut perancangan dan bersiap sedia di setiap perlawanan,” katanya selepas berakhir majlis undian Piala Malaysia semalam.Kumpulan B pula menyaksikan wakil tunggal Liga Perdana yang juga juara 2007 dan 2008, Kedah dihimpit tiga pasukan Liga Super Terengganu, Sarawak dan Perak.

Mungkin persaingan dalam kumpulan itu agak seimbang berbanding apa yang bakal ditempuhi juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (Johor DT) apabila perlu berdepan juara 2010 dan 2012 Kelantan, finalis 2012 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juara 1974 Pulau Pinang yang tampil semula dalam kancah kejohanan berprestij itu.Selangor yang terlepas kejuaraan liga kepada Johor DT musim ini pasti mahu melupakan kekecewaan dan peluang anak buah Mehmet Durakovic meloloskan diri ke suku akhir terbuka apabila hanya perlu mengatasi halangan juara Liga Perdana Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sime Darby dan T-Team.

“Kumpulan ini tidak mudah kerana PDRM juara Liga Perdana manakala T-Team dan Sime Darby bagus. Kami akan cuba yang terbaik kerana misi kami untuk menang,” kata Durakovic.Selepas berakhir peringkat kumpulan pada 3 September, dua pasukan teratas setiap kumpulan berentap di suku akhir bagi mencari empat pasukan ke separuh akhir sebelum final di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 8 November.


Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/14

No comments:

Post a Comment