Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED,
HISYAMUDDIN AYUB dan ASSIM
HASSAN
pengarang@utusan.com.my
Mabul Water Bungalow Resort,
lokasi serangan hendap yang mengorbankan seorang anggota Polis Marin manakala
seorang lagi diculik dalam kejadian malam semalam. - BERNAMA
KOTA KINABALU 13 Julai - Kurang
seminggu selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan
penstrukturan semula Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom),
seorang anggota Pasukan Polis Marin (PPM) berpangkat koperal terbunuh manakala
seorang lagi dipercayai diculik oleh lapan lelaki bersenjata di sebuah resort
di Pulau Mabul, Semporna, malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 11.10
malam itu, Koperal Ab. Rajah Jamuan, 32, mati ditembak kumpulan suspek
berkenaan yang berpakaian hitam, seluar celoreng dan bersenjatakan senjata
mesingan ketika mangsa menjalankan tugas rondaan di situ bersama rakannya,
Konstabel Zakia Aleip, 26, yang kemudian diculik ke perairan negara jiran.
Ab. Rajah yang berasal dari
Kampung Bubul Batu 2, Semporna, dan meninggalkan seorang balu, Salamah Amad,
26, dan seorang anak berusia setahun, merupakan Jurumudi Kapal Rondaan Air 1,
Balai Polis Mabul serta pernah bertugas di Kampung Acheh, Perak.
Sementara itu, Zakia pula
berasal dari Kampung Sambah Tengilan, Tamparuli dan bertugas di balai polis
sama. Zakia yang sudah berumah tangga, meninggalkan seorang balu dan seorang
anak.
Pengarah Bahagian Keselamatan
dan Ketenteraman Awam Esscom, Datuk Abd. Rashid Harun berkata, ketika kejadian,
Ab. Rajah dan Zakia serta dua lagi anggota PPM dikatakan sedang menjalankan
tugas rondaan di resort berkenaan.
"Difahamkan Ab. Rajah dan
Zakia meronda secara bersama manakala dua lagi rakan setugas mangsa meronda di
kawasan berasingan. Tiba-tiba, sekumpulan lelaki bersenjata tersebut memasuki
resort berkenaan dan terlihat Ab. Rajah serta Zakia lalu bertindak melepaskan
beberapa das tembakan.
"Menurut maklumat, Ab.
Rajah sempat berbalas tembakan dengan kumpulan penjenayah itu tetapi malangnya
dia terkena tembakan dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Zakia pula
diculik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jenazah Ab. Rajah dibawa ke
Hospital Besar Tawau, Tawau, pagi ini untuk bedah siasat.
Pulau Mabul terletak kira-kira
45 minit perjalanan menggunakan bot dari bandar Semporna.
Pada 8 Julai lalu, Perdana
Menteri mengumumkan penstrukturan semula Esscom bagi memantapkan lagi agensi
itu dalam menangani masalah pencerobohan dan ancaman penculikan khususnya di
zon terbabit termasuk melantik Abd. Rashid sebagai Komander Esscom.
Dalam pada itu, Abd. Rashid
dalam sidang akhbarnya di Semporna memberitahu, pihaknya mengenal pasti dua
kemungkinan serangan iaitu cubaan menculik atau sebagai tindak balas terhadap
penguatkuasaan yang dilakukan pasukan keselamatan negara.
"Mungkin juga bertujuan
melakukan penculikan di resort berkenaan tetapi sebaliknya bertindak menyerang
apabila terserempak dengan anggota keselamatan negara. Jika inilah puncanya, ia
merupakan pengorbanan pasukan keselamatan untuk mencegah penculikan.
"Kita juga tidak menolak
kemungkinan ini sebagai tindak balas kepada pasukan keselamatan susulan
penguatkuasaan yang dilakukan akhir-akhir ini," katanya.
Beliau berkata, pihak polis dan
Esscom sedang menggiatkan usaha mengesan anggota yang diculik itu termasuk
penjenayah berkenaan di seluruh kawasan berhampiran.
"Saya juga meminta semua
agensi keselamatan di Esscom supaya berhati-hati menjalankan tugas kerana musuh
boleh datang pada bila-bila masa. Masyarakat juga diingatkan supaya tidak
membuat sebarang spekulasi dan memberi peluang kepada polis serta Esscom
menjalankan tindakan sewajarnya," tambahnya.
SUMBER-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140714/je_02/Polis-Marin-maut-rakan-diculik#ixzz37RBa0b4w
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment