Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemain tengah
negara, Nor Azam Azih percaya mereka mampu memberi saingan dalam Kejohanan
Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bawah 23 tahun (B-23) di China, Januari tahun
depan andai diberi tempoh persiapan lebih lama.
Dia berkata, kejayaan skuad
bawah B-22 negara melayakkan diri ke kejohanan itu dan meraih pingat perak di
Sukan SEA Kuala Lumpur membuktikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee memiliki
potensi untuk pergi jauh.
“Kita tahu Thailand jaguh di
Asia Tenggara dan mereka juga selalu memberi saingan hebat di peringkat Asia
juga. Tapi saya fikir jurang kami dengan Thailand tidak jauh. Lihat saja
perlawanan final ini (Sukan SEA), hanya kesilapan kami yang membezakan
kedua-dua pasukan.
“Kalau kami bermain bersama
lebih lama mungkin kami boleh pamerkan permainan lebih baik. Kalau nak
diikutkan, untuk Sukan SEA ini, kami betul-betul berlatih bersama selama
seminggu saja,” katanya.
Skuad muda negara melakar
sejarah apabila mara ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 buat kali pertama
selepas melepasi pusingan kelayakan di Bangkok bulan lalu.
Bagaimanapun, mereka hampir
mencipta sejarah sekali lagi di Sukan SEA namun tewas 0-1 kepada Thailand
akibat gol sendiri penjaga gol Muhammad Haziq Nadzli dalam aksi final di
Stadium Shah Alam, Rabu lalu.
Azam antara pemain yang
menyerlah dalam skuad Kim Swee pada kempen Sukan SEA meskipun pemain Pahang itu
tidak bersama pasukan di Bangkok kerana tidak mendapat pelepasan dengan alasan
jadual padat Liga Malaysia.
Menurut pemain perancang yang
menjadikan pemain tengah Real Madrid, Luca Modric sebagai idolanya, dia percaya
semua pemain dapat menerima kekalahan kepada Thailand untuk bangkit di
kejohanan akan datang.
“Kita menerima kekalahan ini,
kalah sekali bukan kalah selamanya. Kita kena usaha lagi. Kalau nak diikutkan,
kita menguasai permainan khususnya pada separuh masa kedua. Banyak lagi yang
kita perlu perbaiki untuk bermain lebih baik,” kata Azam.
SUMBERArtikel ini disiarkan
pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 11:53 AM
No comments:
Post a Comment