Ad

Saturday, 2 September 2017

Ini bukan penamat!

Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
 
KEGAGALAN meraih pingat emas pada saingan Sukan SEA bukan penamat buat skuad bawah 22 tahun (B-22) namun namun kedudukan jurulatih Datuk Ong Kim Swee menjadi tanda tanya sama ada untuk terus membimbing pasukan atau tidak memandangkan kontraknya bakal berakhir hujung tahun ini.

Adakah kegagalan mengulangi kejuaraan 2011 di Sukan SEA Jakarta bakal mendorong FAM membuat pertimbangan semula biarpun kontrak dikatakan bakal disambung selepas kejayaan membawa pasukan layak ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 buat kali pertama secara automatik.

Suka atau tidak, Kim Swee yang sebelum ini diketepikan untuk memberi laluan kepada Frank Bernhardt, adalah watak penting dalam dua kejayaan pasukan itu tahun ini.

Tidak dapat dinafikan Kim Swee menjadi penggerak barisan pemain skuad B-22 yang bakal menjadi taruhan negara melakar kejayaan lebih besar di pentas lebih berprestij, termasuk pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China tahun depan.

Biarpun seperti diturunkan pangkat daripada mengendalikan skuad Harimau Malaya kepada skuad B-22 Mac lalu, komitmen pengendali kelahiran Melaka itu tidak boleh dipertikaikan.

Pelbagai kesukaran seperti kesuntukan masa dan kegagalan mendapatkan pemain utama kerana jadual padat Liga-M dihadapinya namun masih berjaya mengemudi pasukan dalam dua tugasan besar tahun ini.

Dalam sidang media selepas perlawanan malam tadi, Kim Swee menegaskan anak buahnya perlu segera bangkit daripada kekalahan tipis 0-1 kepada Thailand.

“Selepas ini kita ada tugasan di Kejohanan AFC (B-23). Kita akan berkumpul semula Disember ini sebelum kita memulakan kempen di China. Biarpun kita kalah hari ini (semalam), saya percaya kita dalam landasan tepat.

“Ada sedikit perubahan pemain berbanding kita tewas 0-3 kepada Thailand di pusingan kelayakan AFC di Bangkok bulan lalu dan kali ini kita lebih matang dalam permainan untuk menyaingi mereka,” katanya

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 8:26 PM

No comments:

Post a Comment