Ad

Friday, 8 September 2017

Beregu eksperimen kejutkan Denmark


 

ARKIB : 14/10/2006
TEWAS...cabaran Muhammad Hafiz Hashim berakhir pada peringkat suku akhir apabila tewas kepada pemain China, Lin Dan pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun, semalam. Lin Dan menang 21-19, 21-14. – AFP.

KUALA LUMPUR – Beregu muda negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong cemerlang biarpun hanya digandingkan buat kali pertama apabila mengejutkan pasangan nombor dua dunia, Jens Eriksen-Martin Lundgaard Hansen melayakkan diri ke separuh akhir badminton Terbuka Jepun, semalam.

Turut meneruskan kemaraan Malaysia pada kejohanan bernilai AS$180,000 itu adalah pemain nombor satu negara, Lee Chong Wei yang mengalahkan Boonsak Ponsana dari Thailand.

Bagaimanapun cabaran juara Seluruh England 2003, Muhammad Hafiz Hashim serta beregu muda, Gan Teik Chai-Mohd. Zakry Latif berakhir di suku akhir.

Kien Keat-Boon Heong, yang merupakan gandingan eksperimen jurulatih beregu kebangsaan, Rexy Mainaky mengambil masa 42 minit untuk menewaskan beregu berpengalaman Denmark, Eriksen-Lundgaard Hansen 21-18, 17-21, 21-14.

Kemenangan ke atas juara Seluruh England dan Eropah itu pastinya menjanjikan harapan untuk gandingan dua pemain muda ini dikekalkan bagi tempoh yang lebih lama.

Bersama gandingan asalnya, Chan Chong Ming, Kiet Keat, 21, muncul juara Sukan Komanwel dan Terbuka Malaysia, 2006 di samping bakal membawa cabaran negara ke Sukan Asia di Doha, Disember ini.

Boon Heong, 18, bekas juara remaja dunia, menunjukkan peningkatan yang baik bersama

Hoon Thien How dan berjaya menempatkan diri di kelompok 10 terbaik dunia.

Gandingan muda negara ini memiliki peluang cerah untuk mara ke perlawanan kerana dijangka tidak menghadapi masalah untuk mengalahkan beregu tuan rumah, Suichi Sakamoto-Shintaro Ikeda pada separuh akhir hari ini.

Suichi-Shintaro sebelum itu mengejutkan beregu berpengalaman England dan naib juara Kejohanan Dunia, Anthony Clark-Robert Blair 21-17, 11-21, 21-19.

Sementara itu, Chong Wei menempah pertemuan dengan juara Sukan Olimpik, Taufik Hidayat dari Indonesia pada separuh akhir selepas mengalahkan Boonsak 21-18, 21-14. Taufik pula mara setelah menewaskan Ronald Susilo dari Singapura, 15-21, 11-21.

Satu lagi perlawanan separuh akhir perseorangan lelaki menemukan juara dunia, Lin Dan dengan bekas pemain nombor satu dunia, Peter Gade-Christensen dari Denmark.

Lin Dan melebarkan rekod tanpa kalahnya ke atas pemain nombor dua negara, Hafiz kepada enam perlawanan selepas menang 21-19, 21-14.

Juara Eropah, Gade-Christensen pula menumpaskan bekas juara Seluruh England dan rakan senegara Lin Dan, Chen Hong 21-14, 21-17.

Cabaran Teik Chai-Zakry, beregu yang telah melayakkan diri ke separuh akhir Seluruh England, Februari lalu berakhir di tangan juara dunia serta pasangan nombor satu dunia, Fui Haifeng-Cai Yun dari China.

Pasangan muda negara itu tumpas 19-21, 14-21 dalam perlawanan yang berlangsung selama 24 minit.

KEPUTUSAN (suku akhir)

Perseorangan lelaki: Lin Dan (Chn) kln MUHAMMAD HAFIZ HASHIM 21-19, 21-14; Peter Gade-Christensen (Den) kln Chen Hong (Chn) 21-14, 21-17; Taufik Hidayat (Ina) kln Ronald Susilo (Sin) 21-15, 21-11; LEE CHONG WEI kln Boonsak Ponsana (Tha) 21-18, 21-14

Beregu lelaki: Fu Haifeng-Cai Yun (Chn) kln GAN TEIK CHAI-MOHD. ZAKRY LATIF 21-17, 21-11; Candra Wijaya-Tony Gunawan (Ina/USA) kln Tadashi Ohtsuka-Keita Masuda (Jpn) 21-16, 21-12; Suichi Sakamoto-Shintaro Ikeda (Jpn) kln Anthony Clark-Robert Blair (Eng) 21-17, 11-21, 21-19 ; KOO KIEN KEAT-TAN BOON HEONG kln Jens Eriksen-Martin Lundgaard Hansen (Den) 21-18, 17-21, 21-14
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1014&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4s4kKOFFP
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment