ARKIB : 14/10/20
Oleh: ABDUL HAFIZ AHMAD
KUALA LUMPUR – Skuad Olimpik
Bawah 21 Tahun Malaysia mempamerkan kemajuan pada Kejohanan Bola Sepak Piala
Ibu Kota SHBank apabila seri tanpa jaringan dengan skuad Bawah 23 Tahun Thailand
di Hanoi, kelmarin.
Mereka kini perlu menunggu
keputusan perlawanan terakhir menentang Vietnam di Stadium Hang Day, esok untuk
mengintai tempat kedua kejohanan yang menjanjikan ganjaran AS$5,000 (RM18,400).
Dengan cuma satu mata selepas
dibelasah 0-4 oleh pasukan kebangsaan Vietnam, Selasa lalu, anak buah B.
Sathianathan mungkin terpaksa keluar selaku pasukan tercorot kejohanan jika
Thailand mampu mengikat tuan rumah dengan keputusan seri.
Malah, Malaysia cuma akan
meraih RM3,000 (RM11,050) di tempat ketiga sekalipun Thailand yang bakal ke
Sukan Asia Doha, Disember ini tetap kalah dengan tidak melebihi 0-4. Juara
kejohanan dihadiahkan AS$10,000 (RM36,835)
Kelmarin, Malaysia yang turun
tanpa penyerang utama, Razali Umar, nyaris mengejutkan lawan menerusi percubaan
Jasazrin Jamaluddin pada minit kedua yang sempat dinafikan oleh penjaga gol,
Adisak Doungsri.
Pada minit ke-25 dan 30,
Thailand pula mengasak dan ketangkasan penjaga gol Syed Adney Hussain menyekat
dua cubaan Jeera Jarernsuk yang nyaris membawa gol.
Tanpa Razali yang tercedera,
Norshahrul Idlan Talaha - pelatih skuad Sukan Asia yang bergandingan dengan
Azlan Ahmad, beberapa kali melakukan gerakan solo tetapi agak gopoh dalam
tindakan penyudah.
Tandukan Azrul pada minit ke-69
juga nyaris menewaskan Adisak buat kali pertama tetapi cuma tersasar sedikit
daripada tiang kanan gol Thailand yang membariskan ramai pemain skuad Pestabola
Merdeka, Ogos lalu.
Skuad Olimpik negara: Syed
Adney Syed Hussain, K. Linggam, S. Subramaniam, Ahmad Azlan Zainal (Syamsol
Sabtu), Zairul Fitreee Ishak (Razlan Joffri Ali), Zul Yusri Che Harun (Tengku
Qayyum Ubaidullah), Shakir Shaari (Ahmad Ezrie Shafizie), Daudsu Jamaluddin
(Fazli Baharuddin), Jasazrin Jamaluddin, Azrul Ahmad, Norshahrul Idlan Talaha.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1014&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4s4XgfUPi
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment