Ad

Friday, 8 September 2017

Bola Shebby: Vingada pengecut?


 
Serbegeth Singh

Sejak malam Rabu, banyak yang sudah dibincang, dibahas serta dihadamkan, tetapi jelas kegagalan menewaskan Hong Kong membuktikan beberapa kelemahan di pihak kejurulatihan terutama ketua jurulatih Nelo Vingada.

Kita sudah biasa dengan kitaran semula alasan yang ada dalam bola sepak. Seperti mana FAM gemar kitar semula kegagalan dengan melantik jurulatih untuk pasukan kebangsaan maka kini Nelo Vingada pula membuka mulut dengan lantang.

Kita banyak mencipta peluang, katanya tetapi tidak kelihatan penjaga gol Hong Kong menyelamatkan serangan bertubi-tubi yang hanya berlaku di minda Vingada.

Pengadil menjadi punca mengapa Malaysia hanya seri dengan Hong Kong di tempat kita sendiri. Pengadil dari Australia melakukan tugas dengan baik kerana menguatkuasakan Undang-Undang Permainan.

Kita di Malaysia boleh dianggap matang serta peka dengan undang-undang bola sepak dan tiada sebab Rizal Ghazali memasuki padang tanpa izin atau isyarat pengadil. Selaku pemain terbaik sebelum diperintah keluar padang, Rizal sudah memberi aksi maksimum dengan melakukan tanggungjawab sebagai pertahanan apatah lagi membantu serangan setiap kali berpeluang.

Kita yakin Aidil Zafuan Abd Razak pasti menyesal dengan tindakan menepis tangan pengadil sebaik saja bertindak sebegitu. Dalam bola sepak kita boleh berperang mulut dengan pengadil, tetapi menyentuh pengadil atau pegawai perlawanan ada padahnya. Pemain pertahanan tengah ini mungkin tidak sedar tindakan Akram Mahinan menghalang penyerang Hong Kong memang wajar diberi sepakan penalti.

Luahan paling sombong dari Vingada pula menganggarkan pengadil akan terima layanan berbeza sekiranya mengadili perlawanan di Mesir atau Iran. Apakah maksud Vingada membuat tanggapan seperti itu?

Kita berharap FAM akan membuat penjelasan mengenai kenyataan itu kerana kita tidak ingin melihat rusuhan di luar stadium dengan kereta polis dibakar dan sebagainya.

Kita di Malaysia banyak bersabar kerana menerima tahap pengadilan yang sederhana di negara kita, tetapi Vingada ingin menghasut orang ramai kerana seorang pengadil antarabangsa menjalankan tugas dengan sempurna.

Apa pula pekung di dada Vingada yang ingin ditutup dengan menarik perhatian ramai melalui isu lain? Mari kita lihat pula pemilihan pemain yang diturunkan menentang Hong Kong itu.

Vingada dianggap pengecut apabila menurunkan dua pemain tengah bertahan Amirulhadi Zainal serta Kiko Insa. Beraksi di laman sendiri menentang pasukan sederhana seperti Hong Kong dan Vingada begitu takut?

Malam itu pula, kedua-dua pemain ini beraksi pada tahap sebenar mereka - sederhana. Adakah Vingada menganggap Insa sebagai pemain tahap antarabangsa? Nasir Basharuddin? Hafiz Kamal? S Veenod? Saiful Ridzuan Selamat?

Seorang pemain yang permainannya begitu terhad atau kaki tebang dipilih mewakili Malaysia menunjukkan betapa cetek pemikiran serta kebolehan Vingada. Beliau membariskan formasi 4-2-3-1, tetapi dengan Amirulhadi serta Insa maka formasi lebih kelihatan seperti 4-0-3-1.

Inilah jurulatih yang diberi tanggungjawab untuk membangkitkan bola sepak di Malaysia.

Dengan memilih dua pemain tengah bertahan yang tidak berfungsi malam itu maka Baddrol Bakhtiar diletak di posisi sayap kanan. Seorang pemain yang sudah berevolusi dan menjadi pemain tengah terbaik sejak Piala AFF tahun lalu, pemain ini tenggelam aksinya kerana Vingada.

Sekali lagi, penukaran pemain melemahkan Malaysia apabila Ahmad Hazwan Bakri dibawa masuk bagi menggantikan Amirulhadi. Pemain penyerang Johor Darul Ta’zim (Johor DT) itu dimasukkan untuk memperkuatkan barisan serangan dengan gandingan bersama Darren Lok. Satu gandingan serangan pemain simpanan Johor DT?

Dijangkakan kemasukan Ahmad Hazwan akan bermakna Baddrol dibawa ke barisan tengah bagi membantu Safiq Rahim kerana Insa sudah pancit, akan tetapi tidak berlaku penukaran posisi.

Ini memberi kelebihan kepada barisan tengah Hong Kong yang mula menguasai permainan sehingga mencetuskan emosi pemain Malaysia.

Perkara akhir yang anggap membingungkan pula corak permainan ala-British yang diamalkan Vingada. Dengan konsep melambungkan bola jauh ke arah penyerang kelahiran England Darren Lok, maka kita sudah dapat lihat bagaimana hala tujuh masa depan bola sepak Malaysia.

Seorang jurulatih yang menggunakan alasan tak cukup masa bersama pemain apabila tewas kepada Lubnan, kini menunjukkan tahap sebenarnya apabila turun padang dengan begitu pengecut.

Pemilihan serta percaturan pemain menjadi sebab kita berjaya seri menentang Hong Kong yang membariskan dua pemain - pemain berjersi nombor 9 dan 11 di barisan serangan yang begitu sederhana - pernah dilihat di arena antarabangsa.

Cukuplah dengan alasan kitar semula. Sekurang-kurangnya, mengakui sahajalah tahap sebenar kejurulatihan.

Pada Oktober cuaca di Korea Utara agak sejuk dan kita lihat apa pula alasannya kali ini.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2017 @ 4:56 AM

No comments:

Post a Comment